FGV jangka harga minyak sawit mentah diniagakan RM3,500 satu tan metrik tahun ini

Bernama
Februari 28, 2022 04:58 MYT
Menurut Mohd Nazrul, harga MSM hampir mencecah RM6,500 setan metrik pada minggu lepas. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV) telah menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) diniagakan pada RM3,500 satu tan metrik tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mohd Nazrul Izam Mansor berkata harga MSM adalah mampan memandangkan bekalan telah kembali normal.
"Kami berpendapat dinamik penawaran bekalan telah kembali normal termasuk kemasukan tenaga buruh dan pelonggaran sekatan akibat pandemik di peringkat global, saya fikir kita sepatutnya dapat melihat penurunan harga tetapi sudah pasti sekarang dengan perang antara Ukraine dan Rusia, ia telah menjejaskan paras harga dengan ketara," katanya pada taklimat media mengenai prestasi kewangan suku keempat FGV yang diadakan secara maya semalam.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata harga MSM hampir mencecah RM6,500 setan metrik pada minggu lepas.
"Justeru, ia adalah reaksi tipikal daripada perspektif permintaan dan penawaran pasaran. Kami menjangkakan harga didagangkan pada RM3,000 setan metrik kepada RM5,000 setan metrik," katanya.
Walaupun ketidaktentuan mengenai bekalan tenaga buruh terus yang berlanjutan, kumpulan itu menjangkakan keadaan akan pulih pada suku ketiga tahun ini, kata Mohd Nazrul.
Beliau berkata sektor perladangan akan terus menumpukan pada usaha penuaian, pemulihan tanaman dan penanaman semula untuk memastikan keuntungan kumpulan bagi tempoh jangka panjang.
"Seiring dengan ini sektor gula FGV akan mengoptimumkan kehadiran tempatannya melalui strategi jualan yang agresif, penembusan eksport serantau dan aktiviti perniagaan nilai tambah untuk meningkatkan jumlah jualan.
"Bagi sektor logistik pula, kami juga akan terus meneroka peluang untuk pengembangan dan kepelbagaian pasaran sambil meningkatkan keberkesanan operasinya," katanya.
Sehingga kini, FGV mempunyai sebanyak 30 kilang diperakui Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan 67 kilang diperakui Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), FGV komited untuk menarik balik penggantungan RSPO dan mencapai status penuh diperakui RSPO.
Melangkah ke hadapan, Mohd Nazrul berkata FGV kekal teguh untuk bersedia untuk menerima pakai sepenuhnya pendekatan kemampanan holistik yang akan mendorong FGV untuk memikirkan semula, menggunakan semula dan mereka bentuk semula strategi perniagaannya dalam menjadi perdagangan berasaskan kemampanan.
Beliau berkata pendekatan kemampanan holistik meliputi semua program kelestarian bagi membolehkan FGV menjadi operasi perniagaan berimpak sifar.
-- BERNAMA
#FGV #MSM #minyak sawit mentah #Mohd Nazrul Izam Mansor
;