Festival Kasut A'bangsa M'sia 2013 dijangka catat nilai jualan RM8 juta
Bernama
Mac 6, 2013 21:36 MYT
Mac 6, 2013 21:36 MYT
Festival Kasut Antarabangsa Malaysia (MISF) 2013 dijangka dikunjungi 65,000 peminat kasut tempatan dan antarabangsa dengan mencatat nilai jualan RM8 juta, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.
Beliau berkata MISF edisi keempat bertemakan 1Malaysia - Walking in Unity, Sole of the Nation akan menampilkan 150 jenama antarabangsa dan tempatan.
Pengunjung ke MISF 2013 berpeluang melihat koleksi terbaharu dari duta pelancongan dan pereka kasut tersohor Prof Datuk Dr Jimmy Choo yang akan dipamerkan secara eksklusif pada festival ini, katanya kepada pemberita selepas pelancaran awal MISF 2013 di sini hari ini.
MISF yang mula diperkenalkan pada April 2010 mendapat sambutan menggalakkan apabila menarik 45,000 pengunjung dengan jualan mencecah RM5 juta. Tahun lepas, MISF menarik 45,000 pengunjung dan menjana jualan RM6.8 juta.
Ng berkata MISF 2013 akan menampilkan pavilion pereka yang akan mempamerkan kasut dari 12 pereka fesyen terkenal tempatan dan 25 pereka kasut antarabangsa dari Hong Kong, Indonesia, Thailand, China dan New Zealand.
Beberapa aktiviti menarik diatur sepanjang festival itu termasuk pertandingan mereka kasut dan persembahan fesyen kasut.
Ng berkata festival itu juga bertujuan memperkukuh kedudukan dan reputasi Malaysia sebagai pengeluar utama dan pengeksport kasut berkualiti dan berinovatif berkelas dunia.
Beliau berkata industri kasut Malaysia kini berada pada ranking ke-19 di dunia dengan mengeluarkan 31 juta pasang kasut dengan nilai eksport kira-kira US$201 juta setahun ke Brazil, United Kingdom, Mexico dan negara Asean.
MISF 2013 akan diadakan pada 28 Mac (bagi pengunjung perdagangan) mulai 10 pagi hingga 6.30 petang dan dibuka bagi orang awam dan peniaga antara 29 hingga 31 Mac mulai 10.30 pagi hingga 8.30 malam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).