Feri Langkawi bertolak seawal 4.30 pagi bagi penuhi permintaan penumpang

Faida Rahim
September 2, 2022 18:24 MYT
Baharin berkata Jabatan Laut Malaysia membenarkan pihaknya beroperasi pada awal pagi bagi laluan Langkawi-Kuala Perlis. - Gambar/Sinar Harian.
LANGKAWI: Bermula Isnin, penumpang feri dari terminal Kuah menuju ke Langkawi akan bertolak seawal jam 4.30 pagi.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line),Kapten Baharin Baharom, berkata waktu perjalanan lebih awal ini bagi memenuhi permintaan tinggi penumpang.
Beliau berkata Jabatan Laut Malaysia membenarkan pihaknya beroperasi pada awal pagi bagi laluan Langkawi-Kuala Perlis.
“Operasi feri tambahan ini merupakan inisiatif syarikat dan sokongan kepada trip perjalanan sedia ada yang sudah penuh ditempah orang ramai menerusi pembelian tiket di kaunter dan secara dalam talian,” katanya kepada pemberita.
Tambah Baharin, feri pertama tambahan akan berlepas dari Jeti Kuah pada jam 4.30 pagi, diikuti jam 5.30 pagi seterusnya 6.30 pagi.
Dalam masa sama, penumpang dinasihatkan untuk tiba lebih awal di terminal Jeti Kuah bagi tujuan pemeriksan kastam sebelum bertolak.
Feri tambahan turut disediakan bagi perjalanan dari Kuala Perlis ke Langkawi bermula jam 6.30 pagi, 7.30 pagi dan 8.30 pagi.
Sementara itu, mengulas rungutan beberapa pihak mengenai kekurangan perjalanan feri ke Langkawi menjelang cuti persekolahan bermula esok, beliau berkata pihaknya berusaha memenuhi permintaan penumpang.
"Bermula hari ini, kita beroperasi sebanyak 20 trip perjalanan sehari membabitkan laluan Kuala Perlis dan Kuala Kedah ke Langkawi dengan purata lima trip sehala bagi setiap laluan.
"Jadi sepanjang cuti persekolahan bermula esok, sekurang-kurangnya 8,000 pelancong sehari memasuki Langkawi menerusi perjalanan feri untuk bercuti," katanya.
Tambahnya lagi, kekurangan perjalanan feri pada tarikh tertentu disebabkan faktor air laut cetek akibat lumpur di Kuala Perlis yang menyukarkan feri berlabuh.
#Langkawi #feri #pelancong #Perlis
;