Felda sudah miliki 77 peratus saham FGV - Mustapa Mohamed
Bernama
Mac 9, 2021 04:05 MYT
Mac 9, 2021 04:05 MYT
KUALA KUBU BHARU: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sudah memiliki sebanyak 77 peratus saham dalam FGV Holdings Bhd (FGV), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata, ini menjadikan Felda hanya memerlukan kira-kira 13 peratus lagi pegangan saham syarikat perladangan itu bagi proses nyahsenarai FGV daripada Bursa Malaysia.
Menurutnya, pegangan majoriti saham itu juga selari dengan hasrat kerajaan untuk membantu Felda memulihkan serta memperkukuh kedudukan kewangannya yang akan turut memanfaatkan kalangan peneroka.
"Salah satu cara proses pemulihan adalah menstruktur semula pinjaman dengan menerbitkan sukuk yang dijamin kerajaan berjumlah RM9.9 bilion.
"Tujuan sukuk ini adalah untuk mengurangkan beban hutang Felda.
"Jadi apabila hutang ini berkurangan, ia akan mengukuhkan keadaan kewangan Felda dengan peneroka turut mendapat faedahnya," katanya pada sidang media bersempena lawatan beliau ke tapak Projek Gedung Makanan Negara (GDM) di Felda Sungai Tengi Selatan, di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar.
Mengulas selanjutnya, Mustapa berkata senarai hutang peneroka Felda dijangka akan diumumkan pada Mei depan selepas proses audit firma akauntan selesai.
"Perkara ini amat dinantikan oleh peneroka Felda dan sudah pasti apabila diumumkan (kelak), bebanan peneroka dijangka akan berkurangan," katanya.
Menurutnya, selain itu, Felda juga dalam proses melakukan transformasi dari sudut pengurusan, kecekapan, pentadbiran dan kewangan bagi memulih semula kedudukannya.
Sementara itu, Amiruddin berkata Felda kini di landasan tepat dalam usaha meningkatkan pegangan saham sehingga 90 peratus dalam FGV.
"Kita berharap dapat meningkatkan pegangan saham melalui pengambilalihan mandatori dan mempunyai tempoh lebih kurang seminggu sebelum pasaran saham ditutup pada 15 Mac ini.
"Walaupun tempoh pembelian saham akan berakhir, Felda mempunyai langkah-langkah dan strategi bagi pembelian saham seterusnya," katanya.
-- BERNAMA