Felda nafi lewat bayar peneroka
Najib Aroff
Januari 18, 2019 12:15 MYT
Januari 18, 2019 12:15 MYT
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menafikan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa berlaku kelewatan dalam pengagihan bayaran tunggakan kepada peneroka.
Dalam satu kenyataan hari ini, Felda berkata peruntukan khas RM77 juta yang diluluskan Kerajaan Pusat pada 20 Disember 2018 adalah bagi Bayaran Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil (BSHPH), bayaran tunggakan bagi kerja-kerja operasi pembangunan ladang peneroka dan bayaran khairat kematian kepada 120 waris peneroka.
“Majoriti tuntutan BSHPH sudah dibayar pada 31 Disember 2018 dan baki peruntukan khas ini selesai diagihkan pada 14 Januari 2019,” kata Felda.
Tambah Felda, seramai 30,799 peneroka menerima tuntutan BSHPH pada 31 Disember 2018 dan 4,644 peneroka pula menerima tuntutan pada 14 Januari 2019.
“Bayaran ini hanya dibuat kepada peneroka yang terlibat bawah Program Tanam Semula.
“Walau bagaimanapun, peneroka di Sungai Koyan, seramai 851 orang, tidak terlibat dengan Program Tanam Semula dan tiada tuntutan BSHPH dibuat oleh mereka,” tambah kenyataan itu.
Sementara itu Felda berkata aduan yang diterima Guan Eng daripada peneroka adalah berhubung bayaran hasil, iaitu gaji yang dibayar berdasarkan jualan kelapa sawit.
“Bayaran tersebut dibuat kepada peneroka dua kali sebulan, iaitu pada pertengahan dan hujung bulan, dan kemudian dipinda kepada bayaran sekali pada hujung bulan,” kata kenyataan itu lagi.
Felda berkata bayaran hasil tersebut bukan sebahagian BSHPH ataupun peruntukan khas sebanyak RM77 juta yang diluluskan Kerajaan Pusat.
Guan Eng pada 17 Januari berkata kelewatan bayaran hasil tidak seharusnya berlaku kerana kerajaan sudah memperuntukan RM77 juta untuk tujuan pembayaran.