Felda Global Ventures rugi RM1 bilion
Najib Aroff
Februari 28, 2019 14:52 MYT
Februari 28, 2019 14:52 MYT
FGV Holdings Berhad (FGV) merekodkan kerugian sebelum zakat dan cukai lebih RM1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.
Ia berbanding keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM403 juta pada tahun sebelumnya.
Kerugian itu disumbang sebahagian besar oleh rosot nilai dan peruntukan berjumlah RM1.038 bilion selain penurunan harga Minyak Sawit Mentah (MSM) turut menjejaskan prestasi keseluruhan.
Sementara bagi suku keempat, FGV mencatatkan kerugian sebelum zakat dan cukai sebanyak RM139 juta disebabkan faktor sama, rosot nilai dan peruntukan berjumlah RM240 juta.
“Prestasi FGV telah terkesan dengan harga MSM dengan purata RM2,053 per tan metrik (MT) pada suku disemak, 24.6% lebih rendah berbanding harga purata RM2,723 MT yang dicatatkan pada suku keempat 2017.
“Pada suku keempat, operasi perladangan memberi penekanan kepada mencegah ketirisan, menyemak semula proses dan memperkenalkan kawalan baharu untuk memastikan prestasi ladang kami setaraf dengan pemain industri lain.
“Beberapa inisiatif ini telah mula membuahkan hasil namun penambahbaikan ini akan lebih ketara pada tahun 2019,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV , Datuk Haris Fadzilah Hassan.
#Felda
#FGV
#FGV Holding
#FGV rugi
#harga minyak
#minyak sawit
#minyak sawit mentah
#palm oil
#Palm Tree