FELDA berjaya kuasai 81 peratus saham FGV

Bernama
Mac 16, 2021 20:14 MYT
Ini bermakna FELDA dan KPF kini menguasai 81 peratus saham FGV manakala kerajaan negeri Pahang pula memiliki lima peratus dan kerajaan negeri Sabah dan syarikatnya Sawit Kinabalu memiliki empat peratus saham FGV. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah berjaya menguasai 81 peratus pegangan saham dalam FGV Holdings Bhd dan sekutunya, termasuk Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF).
Ini susulan daripada tempoh tawaran mandatori terhadap baki saham yang belum dimiliki telah tamat pada Isnin.
FELDA dalam satu kenyataan hari ini berkata sebanyak 987.3 juta atau 27.1 peratus saham diterima berikutan tawaran am mandatori manakala 125.6 juta (3.4 peratus) saham dibeli di pasaran.
Ini bermakna FELDA dan KPF kini menguasai 81 peratus saham FGV manakala kerajaan negeri Pahang pula memiliki lima peratus dan kerajaan negeri Sabah dan syarikatnya Sawit Kinabalu memiliki empat peratus saham FGV, katanya.
Pengerusi FELDA Datuk Seri Idris Jusoh berkata sebagai sebuah anak syarikat, ini akan membolehkan pengurusan ladang perjanjian pajakan tanah (LLA) FGV berserta kilang sawit, diintegrasikan dengan ladang FELDA yang lain, supaya lebih cekap dan berkesan untuk manfaat bersama.
"Saya percaya kerjasama FELDA dan FGV akan membentuk sinergi yang membawa manfaat kepada kedua-dua organisasi.
"Untuk terus mengorak langkah ke hadapan, adalah penting untuk kita memegang prinsip 'we are one'," katanya.
Pengarah Besar FELDA Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata gandingan kerjasama antara FELDA dan FGV mampu memberi nilai tambah kepada FELDA terutamanya dengan lebih memfokuskan aktiviti hiliran yang kurang diberi perhatian sebelum ini.
"Aktiviti hiliran akan memberi margin keuntungan yang lebih tinggi dan akan mampu mengukuhkan kedudukan kewangan FELDA dengan lebih mampan," ujarnya.
Pengambilalihan FGV oleh FELDA adalah suatu langkah penting dalam Pelan Pemulihan FELDA yang telah diluluskan oleh kerajaan demi manfaat 112,638 peneroka dan dua juta warga besar FELDA.
-- BERNAMA
#Felda #FGV #Idris Jusoh #kerajaan #saham #pasaran
;