Felda beli baki saham FGV
Najib Aroff
Februari 4, 2021 13:21 MYT
Februari 4, 2021 13:21 MYT
KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah membeli kesemua baki saham FGV Holdings Berhad (FGV) sebanyak 4.63 juta unit (tidak termasuk saham perbendaharaan) di pasaran terbuka pada nilai RM1.30 sesaham.
Maybank Investment Bank Berhad selaku penasihat prinsipal dalam satu kenyataan berkata, pembelian itu dilakukan pada Rabu.
Tambah Maybank IB, pembelian itu termasuk saham FGV di bawah pelan insentif jangka panjang.
Pada 8 Disember lalu, Felda mengumumkan hasrat penawaran pengambilalihan wajib kepada pemegang saham minoriti FGV pada harga RM1.30 sesaham, sekiranya ia berjaya meningkatkan pegangan dalam FGV.
Melalui pengambilalihan terbaharu ini, Felda yang sudah mempunyai 21.24 peratus pegangan dalam FGV meningkatkan pegangan kepada 35.12 peratus.
Setakat ini Felda bersama pihak yang bertindak bersama dengannya kini menguasai lebih 69 peratus pegangan FGV sekaligus tawaran pengambilaihan wajib boleh dimulakan.
Maybank IB pada 29 Januari berkata tarikh akhir penerimaan pengambilalihan itu disambung sehingga 16 Februari berbanding 2 Februari.
FGV pada 22 Januari mengesyorkan kepada pemegang saham minoritinya untuk menolak tawaran pembelian saham oleh Felda.
Dalam satu kenyataan, FGV menganggap tawaran oleh Felda pada harga RM1.30 sesaham adalah tidak adil, lebih rendah dari penilaian surat nasihat bebas daripada RHB Investment Bank iaitu sekitar RM1.45 hingga RM1.60.