Felda akan ambil tanah dan beli kilang dari FGV
Najib Aroff
Oktober 30, 2020 17:23 MYT
Oktober 30, 2020 17:23 MYT
KUALA LUMPUR: Felda akan membeli kilang pemprosesan sawit milik FGV Holdings selain mengambil semula tanah di bawah Perjanjian Pajakan Tanah (LLA), kata Pengerusi Pasukan Petugas Khas Felda Tan Sri Abdul Wahid Omar.
"Di bawah LLA ada terma pembatalan, notis akan diterbitkan dan akan dilakukan termasuk rundingan untuk mengambilalih kilang pemprosesan sawit. Kita tidak hanya mahu ladang tetapi juga kilang pemprosesan sawit.
"Kilang ini tidak termasuk di bawah LLA dan ia perlu dirunding," ujarnya.
Abdul Wahid berkata, jumlah pampasan yang akan dibayar kepada FGV juga akan diputuskan melalui rundingan tersebut.
Selain itu Abdul Wahid berkata, rundingan bersama FGV tidak dimulakan lebih awal kerana menanti kelulusan kerajaan.
"Sebelum Felda dapat berunding (dengan FGV) felda perlu mendapatkan mandat (kerajaan). Mandat baru sahaja diberi dan dipersetujui oleh kerajaan dan selepas ini pengurusan Felda akan berunding dengan FGV.
Abdul Wahid berkata meskipun Felda mengambil semula tanah daripada FGV namun firma itu tidak akan menjual 33,66 peratus pegangannya dalam FGV.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed pada Rabu berkata Kabinet bersetuju untuk membatalkan LLA dan terbitan sukuk RM9.9 bilion oleh Felda.
Sementara itu Wahid berkata, sukuk yang akan diterbitkan Felda bernilai RM9.9 bilion akan digunakan untuk pembiayaan semula pinjaman sedia ada dan modal kerja.
Felda kini akan melaksanakan beberapa cadangan oleh Pasukan Petugas Khas Felda bagi menambah baik prestasi Felda yang terjerat dengan hutang mencecah RM10.6 billion.
#Felda
#FGV Holdings
#kilang proses sawit
#kilang sawit
#Pengerusi Pasukan Petugas Khas
#Abdul Wahid Omar