Felcra perlu jadi peneraju utama industri keselamatan makanan negara - PM Najib

Azyyati Ahmad
Disember 20, 2016 19:06 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kanan) meletakkan kapsul masa pada gimik pelancaran Sambutan 50 Tahun Jubli Emas Felcra Berhad pada Selasa. - Foto Bernama
Kerajaan mahu Felcra Berhad menjadi peneraju utama industri keselamatan makanan (Food Security) dalam masa 10 tahun akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata hasrat itu juga adalah bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap sumber makanan import.
Katanya, bidang keselamatan makanan menjanjikan keuntungan besar yang mana tahun lalu sahaja, import bahan makanan negara mencecah RM45.4 bilion.
“Nilai import bahan makanan kita, semakin tahun semakin meningkat, berdasarkan hakikat ini, saya mahu Felcra menjadi penyumbang utama dalam bidang keselamatan makanan khususnya dalam bidang ayam dan daging halal serta tanaman,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun ke 50 Felcra Berhad di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Di majlis tersebut, Perdana Menteri turut menyaksikan Felcra menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) perjanjian kolaborasi antara Felcra Berhad dengan perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Unimap Holdings Sdn Bhd dan Sime Darby Plantation Sdn Bhd.
Di majlis sama, Perdana Menteri turut mengumumkan kolaborasi Felcra Berhad dengan tiga entiti bagi membantu agensi itu mencapai objektif dan strategi operasi lebih mantap.
Pertama, pendekatan Strategi Lautan Biru (NBOS) bersama GLC, iaitu Sime Darby Plantation Sdn Bhd dalam bidang pemerkasaan perladangan,
NBOS bersama badan berkanun iaitu PTPTN dalam bidang pembangunan modal insan, yang mana Felcra akan memberi pengurangan bayaran balik 20 peratus atau RM4,000 kepada setiap pelajar dari kalangan warganya yang mengikuti pengajian di Kolej Felcra.
Dan NBOS bersama institut pengajian tinggi awam dalam bidang teknologi canggih dalam projek tanaman mangga harum manis.
Kesemua kolaborasi ini akan bermula pada tahun 2017.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri turut mengumumkan dana tambahan RM5 juta bagi Tabung Pinjaman Projek Ekonomi menjadi kan jumlahnya RM11.3 juta bagi membantu usahawan Felcra yang hendak memulakan perniagaan atau hendak mengembangkan perniagaan masing-masing.
#FELCRA #Felcra Berhad #food security #Najib Tun Razak
;