The Fed naikkan kadar faedah 0.75 peratus, tertinggi sejak 1994

Astro Awani
Jun 15, 2022 05:15 MYT
Jerome Powell menyifatkan peningkatan yang diumumkan itu adalah angka yang luar biasa tinggi. - Gambar fail
RIZAB Persekutuan Amerika Syarikat (AS) atau The Fed meningkatkan kadar faedah sebanyak 0.75 peratus pada Rabu, sebagai langkah agresif untuk melawan inflasi yang melambung tinggi di negara itu.
Ia merupakan peningkatan kadar faedah tertinggi sejak 1994, dan dijangka memberi kesan kepada berjuta perniagaan dan isi rumah di Amerika dengan peningkatan kos pinjaman bagi perumahan, kenderaan dan pinjaman lain.
Ini bermakna, kadar faedah negara itu kini berada pada sekitar 1.5 hingga 1.75 peratus bagi pinjaman pengguna dan perniagaan.
Penganalisis sebelum ini memberikan pandangan bercampur-campur tentang kenaikan kadar faedah antaranya jangkaan peningkatan 0.50 mata asas.
Namun angka inflasi pada kadar 8.6 peratus yang dikeluarkan Jumaat memberikan suntikan baharu kepada The Fed untuk meningkatkan kepada kadar faedah lebih agresif.
Pengerusi The Fed Jerome Powell dalam sidang media menyifatkan peningkatan yang diumumkan itu adalah angka yang luar biasa tinggi.
Serentak itu, pasaran AS menyaksikan rali dengan indeks Dow Jones meningkat lebih 500 mata selepas pelabur melihat pengumuman The Fed itu adalah langkah untuk mengurangkan inflasi tinggi negara itu.
Rakyat Amerika kini berdepan tekanan kos sara hidup yang tinggi termasuk harga barangan asas dan minyak di pam dan The Fed mempunyai mandat untuk menstabilkan harga.
#Rizab Persekutuan Amerika Syarikat #kadar faedah #Jerome Powell #Inflasi
;