FBM KLCI ditutup tinggi seiring bursa serantau
Bernama
Mac 14, 2025 20:30 MYT
Mac 14, 2025 20:30 MYT
Pada 5 petang, FBM KLCI menokok 2.12 mata atau 0.14 peratus kepada 1,512.15 daripada 1,510.03 semasa ditutup pada Khamis. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengakhiri minggu ini dengan meningkat sedikit, seiring dengan indeks serantau walaupun Wall Street mencatatkan prestasi lemah dalam tempoh semalaman.
Pada 5 petang, FBM KLCI menokok 2.12 mata atau 0.14 peratus kepada 1,512.15 daripada 1,510.03 semasa ditutup pada Khamis.
Petunjuk pasaran dibuka 10.08 mata lebih rendah kepada 1,499.95 dan bergerak antara 1,493.29 dan 1,516.25 sepanjang hari dagangan.
Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 680 berbanding 292 manakala 437 kaunter tidak berubah, 1,009 tidak diniagakan and 13 lain digantung dagangan.
Naib Presiden penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng memberitahu Bernama indeks serantau kebanyakannya ditutup lebih tinggi dengan pembelian kukuh terhadap saham China dan Hong Kong berikutan bank pusat China berikrar untuk menurunkan kadar faedah.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata dalam kalangan komponen FBM KLCI, saham utiliti meneraju kaunter untung manakala kaunter kewangan menyaksikan penurunan paling ketara.
Bagaimanapun, penurunan dalam saham kewangan adalah tidak ketara sebahagian besarnya berikutan pembayaran dividen ke atas saham tertentu.
"Belian saham semasa harga rendah yang berlaku semalam berterusan sehingga hari ini berikutan tekanan jualan yang tinggi pada awal minggu ini.
"Pelabur memberikan tumpuan kepada saham kukuh yang telah mengalami keadaan terlebih jual, menjadikannya tarikan utama dalam dagangan hari ini," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank menambah dua sen kepada RM10.32, YTL Power naik 13 sen kepada RM3.12, YTL Corporation menokok 11 sen kepada RM1.93 dan 99 Speed Mart meningkat empat sen kepada RM2.05 manakala MR DIY berkurangan satu sen kepada RM1.34.
Bagi saham aktif, Nationgate menambah lima sen kepada RM1.36, KNM dan Velesto masing-masing meningkat setengah sen kepada 4.5 sen dan 16 sen, Saudigold susut setengah sen kepada satu sen manakala NEXG tidak berubah pada 25.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 49.59 mata kepada 11,300.14, Indeks FBMT 100 naik 38.82 mata kepada 11,069.83, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 83.80 mata kepada 10,989.58, Indeks FBM ACE meningkat 147.14 mata kepada 4,677.68 dan Indeks FBM 70 melonjak 149.34 mata kepada 16,138.47.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 49.36 mata kepada 18,522.82, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.40 mata kepada 153.73, Indeks Tenaga naik 13.16 mata kepada 718.73 dan Indeks Perladangan menambah 38.10 mata kepada 7,369.75.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.49 bilion unit bernilai RM2.20 bilion daripada 1.93 bilion unit bernilai RM2.65 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran susut kepada 1.34 bilion unit bernilai RM140.15 juta berbanding 803.42 juta unit bernilai RM86.46 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 409.05 juta unit bernilai RM153.09 juta berbanding 513.55 juta unit bernilai RM165.07 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 205.96 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (286.04 juta), pembinaan (109.46 juta), teknologi (223.93 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (100.28 juta), hartanah (121.98 juta), perladangan (20.55 juta), REIT (19.91 juta), dana tertutup (21,000), tenaga (224.30 juta), penjagaan kesihatan (68.04 juta), telekomunikasi dan media (36.23 juta), pengangkutan dan logistik (24.84 juta), utiliti (51.99 juta) dan amanah perniagaan (16,800).
-- BERNAMA