FBM KLCI dibuka tinggi sedikit

Bernama
September 13, 2024 11:20 MYT
Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.43 mata kepada 1,640.74 daripada 1,638.31 semalam. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: FBM KLCI dibuka tinggi sedikit pagi ini berikutan sentimen berhati-hati menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) minggu depan untuk memutuskan kadar faedah.
Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.43 mata kepada 1,640.74 daripada 1,638.31 semalam.
Indeks dibuka tinggi 4.32 mata kepada 1,642.63.
Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 183 berbanding 90. Sejumlah 219 kaunter kekal tidak berubah, 1,973 tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 88.90 juta unit bernilai RM95.27 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen pasaran kekal berhati-hati dan menjangka indeks akan berada dalam julat 1,635 hingga 1,645 hari ini.
"Wall Street ditutup tinggi (semalaman) berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah terutamanya dalam saham teknologi permodalan mega menjelang mesyuarat Fed minggu depan.
"Oleh itu, Dow Jones naik 235 mata, Nasdaq menambah 174 mata manakala hasil 10 tahun AS naik kepada 3.68 peratus. Di Hong Kong, Indeks Hang Seng meningkat semula sejajar dengan aliran meningkat serantau," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot empat sen kepada RM10.60, Public Bank tidak berubah pada RM4.65, CIMB naik 18 sen kepada RM8.11 dan Tenaga meningkat 10 sen kepada RM14.78. IHH tidak berubah pada RM6.65.
Dalam kalangan kaunter aktif, Globetronics merosot 1.5 sen kepada 53.5 sen, Elridge Energy menambah setengah sen kepada 40 sen, GDex naik satu sen kepada 18 sen manakala Pan Malaysia dan Steel Hawk, masing-masing meningkat setengah sen kepada 39 sen dan 34 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 24.05 mata kepada 12,215.70, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 39.27 mata kepada 12,028.85 dan Indeks FBMT 100 menambah 22.43 mata kepada 11,929.82.
Indeks FBM 70 naik 50.10 mata kepada 17,144.65 dan Indeks FBM ACE menambah 2.83 mata kepada 5,036.50.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 57.56 mata kepada 19,454.09, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.47 mata kepada 173.45 dan Indeks Tenaga meningkat 4.77 mata kepada 852.41.
Indeks Perladangan naik 3.93 mata kepada 7,168.45.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #Wall Street #rizab persekutuan
;