Fatberry.com sasar dua juta pengguna menjelang akhir 2018
Bernama
Disember 6, 2017 19:00 MYT
Disember 6, 2017 19:00 MYT
FatBerry Sdn Bhd, syarikat pemula niaga teknologi insurans, menyasarkan dua juta pengguna pada akhir 2018 bagi laman webnya serta aplikasi yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif, Priscilla Lim berkata laman web, FatBerry.com yang mengalakkan dan membantu pengguna mencari dan membeli insurans paling sesuai secara dalam talian, turut dilengkapi antara muka intuitif seperti 'chatbox'.
"Antara muka dalam talian Fatberry.com seperti 'chatbox' itu menyediakan pilihan insurans peribadi yang dapat memenuhi keperluan pengguna dalam tempoh dua minit," katanya kepada pemberita semasa pelancaran laman web itu di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan melancarkan aplikasi yang boleh dimuat turun dari Google Play Store dan Apple Store itu menjelang 2018.
FatBerry.com juga mengumumkan perkongsian dengan Tune Protect Malaysia untuk muncul sebagai agensi portal runcit dalam talian pertama untuk pasaran insurans am di Malaysia.
Kerjasama itu akan bermula dengan penawaran produk insurans am peribadi Tune Protect menerusi FatBerry.com - iaitu insurans kenderaan, insurans perjalanan dan insurans kemalangan peribadi.
"Perkongsian kami akan menyediakan keadah dalam talian yang mudah digunakan pengguna untuk memahami dan mencari produk insurans yang tepat," katanya.
Laman web itu menghimpunkan maklumat daripada 12 syarikat insurans di samping membolehkan pengguna membuat perbandingan dan memilih pakej serta membeli secara mudah.
Lim berkata, seiring langkah liberalisasi industri insurans Malaysia mulai 1 Julai, 2017, FatBerry yakinselain menyediakan ketelusan dan pilihan kepada pengguna menerusi antara muka dalam taliannya, ia turut dapat membantu pengguna membuat keputusan bermaklumat. -- Bernama