Farm Fresh bakal buka 300 cawangan Jom Cha seluruh negara
Ehsan A Marisah
Februari 16, 2023 13:52 MYT
Februari 16, 2023 13:52 MYT
PUTRAJAYA: Farm Fresh Bhd menyasarkan untuk membuka sebanyak 300 cawangan menerusi perniagaan kios minuman, Jom Cha by Farm Fresh di seluruh negara dalam masa tiga tahun akan datang.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh, Loi Tuan Ee, setakat ini 25 cawangan sudah dibuka dan boleh dijumpai di kebanyakan pasar raya besar di seluruh negara, selain menyasarkan 100 cawangan pada akhir tahun ini.
“Untuk tahun ini, kami sudah memiliki 25 cawangan dan berhasrat untuk menambah 100 cawangan pada akhir tahun ini.
“Tiga tahun ke hadapan, kami menyasarkan untuk membuka sehingga 300 cawangan baharu di seluruh negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran kios terkini Jom Cha by Farm Fresh di IOI City Mall, di sini, pada Rabu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh, Azmi Zainal berkata, pelbagai strategi pemasaran diambil kira pihaknya bagi memastikan produk berkenaan mampu bersaing dan releven setanding produk sedia ada di pasaran.
“Farm Fresh sudah ada peminatnya tersendiri, sudah tentu mereka (pelanggan) ini mencuba perisa yang berlainan.
“Kalau di pasar raya mungkin agak terbatas inovasi resipi, jadi dengan adanya Jom Cha by Farm Fresh ini satu inovasi yang unik kerana mempunyai kombinasi pelbagai dan ini satu rasa yang kreatif,” ujarnya.
Jelas Azmi, Jom Cha membuka cawangan pertamanya pada Ogos tahun lalu sebagai usaha mewujudkan pendapatan tambahan kepada Home Dealer termasuk buat Farm Fresh sebagai sebuah syarikat.
“Kami percaya dengan kualiti tenusu kami, apatah lagi apabila menyeedari sudah banyak jenama minuman di luar sana yang sudahpun menggunakan susu kami.
“Peluang ini ingin kami gunakan untuk terus berkembang dengan mencampurkan susu segar kami dengan boba,” katanya.
Jom Cha menawarkan rangkaian perisa tersendiri bermula RM5.80 dan menawarkan perisa enak menggunakan bahan-bahan berkualiti tinggi, sambil mengekalkan harga yang berpatutan.
Antara menu yang menjadi kegemaran ramai adalah Farm Fresh Milk with Brown Sugar Boba, Belgian Milk Chocolate dan Strawberry Kurma Yogurt.
Kini, ia menawarkan 19 jenis minuman di bawah enam kategori berbeza yang kebanyakannya diperbuat dengan susu dan yogurt Farm Fresh, selain memperkenalkan menu baharu, iaitu Natural Yogurt Mixberries Soft Serve, diperbuat daripada yogurt Farm Fresh yang kaya dengan probiotik.