Farid tidak perbaharui kontrak, Maybank bakal punyai CEO baharu

Najib Aroff
Januari 3, 2022 18:01 MYT
Lembaga Pengarah kini sedang menjalankan proses semakan dan penilaian secara teliti untuk mengenal pasti pengganti yang sesuai untuk jawatan Farid. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GPCEO) Maybank Datuk Seri Farid Alias tidak akan memperbaharui kontraknya selepas ia tamat pada 1 Ogos 2022.
Beliau memegang jawatan nombor satu Maybank itu sejak 2 Ogos 2013.
Menurut Maybank dalam satu kenyataan, keputusan itu dimaklumkan oleh Farid kepada Lembaga Pengarah atas alasan mahu mengikuti minat peribadinya selepas berakhir penggal ketiganya sebagai GPCEO.
“Lembaga Pengarah kini sedang menjalankan proses semakan dan penilaian secara teliti untuk mengenal pasti pengganti yang sesuai untuk Datuk Seri Farid, termasuk menilai calon dalaman dan luaran.
“Pelantikan baharu akan diumumkan sebaik sahaja kami memperoleh kelulusan kawal selia yang diperlukan untuk pelantikan ini,” kata Pengerusi Maybank Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa.
Zamzamzairani berkata Farid akan terus menyelia pengurusan dan operasi Maybank sehingga penggantinya menyandang jawatan tersebut, bagi memastikan peralihan kepimpinan berjalan dengan lancar.
“Walaupun kami kecewa kerana Datuk Seri Farid tidak mahu membaharui kontraknya, Lembaga Pengarah menghormati keputusannya dan bagi pihak kumpulan, saya mengucapkan terima kasih di atas sumbangan, perkhidmatan dan komitmen luar biasa beliau dalam membina organisasi berpandangan hadapan yang telah mendahului kebanyakan rakan serantaunya, terutamanya dalam bidang digital dan kemampanan,” katanya.
Farid, 53, memulakan kerjaya perbankannya di Aseambankers, anak syarikat Kumpulan Maybank pada Januari 1992 sebelum meluaskan pengalamannya bersama syarikat-syarikat seperti Schroders, Malaysia International Merchant Bankers, JP Morgan dan Khazanah Nasional Berhad.
Beliau menyertai semula Maybank pada Januari 2009 dan telah memegang beberapa jawatan perniagaan utama seperti Ketua Perniagaan Antarabangsa dan Timbalan Presiden dan Ketua, Perbankan Global sebelum pelantikannya sebagai GPCEO.
#Maybank #Datuk Seri Farid Alias #CEO Maybank #CEO Maybank letak jawatan
;