Fantastic Food Festival 7.0 by Kak Nab meriah, platform usahawan IKS bina 'branding' tersendiri

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 6, 2024 14:53 MYT
Menurut Kak Yaya, penglibatan pihaknya bersama Fantastic Food Festival by Kak Nab adalah untuk membantu para 'vendor' meningkatkan jualan. - Foto Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Penganjuran Fantastic Food Festival (FFF) 7.0 dengan kerjasama Yaya Empire Perfume kali ini menjadi satu sinergi terbaik untuk para usahawan memasarkan produk seterusnya menjana pendapatan lumayan.
Bagi Pengasas Yaya Empire Perfume, Nadia Mat Isa atau Kak Yaya, penglibatan pihaknya bersama Fantastic Food Festival by Kak Nab adalah untuk membantu para 'vendor' meningkatkan jualan serta meluaskan lagi perniagaan masing- masing khususnya di utara tanah air.
"Apa yang mendorong penglibatan saya adalah niat saya dengan Kak Nab sama, iaitu kami sama -sama mahu membantu vendor-vendor kecil IKS dalam negara kita untuk dapatkan 'sales' yang lumayan dan dalam masa sama saya juga mahu menyebar luas Yaya Empire di seluruh Malaysia.
"Untuk edisi akan datang, saya berharap dapat lagi bekerjasama dengan Kak Nab di mana kita mahu membantu lebih ramai usahawan untuk menceburi Industri sebegini," kata Nadia.
Sementara itu pengasas serta penganjur Fantastic Food Festival ( FFF) Nabilah Baharin, berkata penganjuran kali kedua bersama Yaya Empire Perfume memberi impak sangat baik kepada pihak terlibat khususnya para usahawan IKS dalam membina 'branding' produk mereka.
Nabilah yang mesra di sapa Kak Nab berkata, antara objektif utama beliau menganjurkan festival adalah untuk membantu para usahawan IKS ini membina jenama produk mereka selain menjana pendapatan lumayan.
"Alhamdulillah melalui kolaborasi saya dan Yaya Empire Perfume kali ini kita dapat menolong lebih ramai usahawan bumiputera kita dalam industri 'food n beverage'.
"Untuk FFF 7.0 ini antara tarikan yang kita bawa adalah menu yang berlainan dan pastinya viral serta sedap, kita akan pastikan pengunjung berpuas hati dengan pilihan yang dibuat oleh penganjur," katanya.
Sementara itu, bagi Duta Yaya Empire Perfume, Fazlisham Mat Hussin atau Issey, beliau melihat kolaborasi antara Yaya Empire Perfume dan Kak Nab memberi kesan positif kepada kedua-dua pihak yang secara tidak langsung turut memberi inspirasi kepada para usahawan IKS untuk terus mengembangkan perniagaan mereka.
"Kerjasama di antara FFF by Kak Nab dengan Yaya Empire satu kombinasi yang sangat 'perfect' dan tepat di mana semua pihak terlibat juga mendapat manfaat," kata Issey.
Bagi pempengaruh makanan selatan Thai, Muhammad Adnan Muhammad atau lebih dikenali sebagai Kaki Jalae, penganjuran festival makanan ini dapat menarik kunjungan pelbagai lapisan masyarakat setempat termasuk pelancong seterusnya dapat mempromosikan makanan Malaysia.
"Kalau kita tengok sekarang ini memang orang Malaysia suka pergi ke Hatyai cari tomyam tapi ini saya rasa ini masa yang baik untuk kita nak bawa warga Thailand pula masuk ke Malaysia untuk cari makanan viral, sebab saya pun 'lidah Thailand', saya pun boring dah makan tomyam jadi kita pun nak cuba menu lain dari yang lain, kalau datang ke festival ini ada makanan viral macam nasi lamb shank, kunafa dan lain- lain," kata Muhammad Adnan.
Sementara itu, peniaga yang ditemui berkata, mereka tidak menang tangan setiap kali menyertai karnival jualan sebegini dan ia mengakui ia adalah platform terbaik untuk mereka membina nama serta menjana pendapat lumayan menerusi penganjuran festival makanan sebegini.
"Kelebihan dia dari segi kami dapat meningkatkan lagi jualan kepada customer, selain itu dapat melonjakkan lagi nama Mr Yogurt di masa depan dan membantu produk local. Banyak dah saya sertai event, namun event By Kak Nab ini paling padu," kata Mr Yogurt.
Fantastic Food Festival diadakan bermula 3 hingga 6 Oktober di Tapak Parkir Aman Jaya Mall Sungai Petani, Kedah.
Lebih 140 peniaga tidak melepaskan peluang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman viral serta wangian dari Yaya Empire Perfume yang menjadi kegilaan pengunjung.
Selain itu, para pengunjung juga turut dihiburkan dengan persembahan artis terkenal tanah air, antaranya Issey, Ara Johari, Cat Farish, Amira Syahira serta persembahan dikir barat Kumpulan Dikir Sri Changlun bersama Issey yang julung kali dipersembahkan di FFF 7.0 by Kak Nab kali ini.
#Fantastic Food Festival 7 0 by Kak Nab #Yaya Empire Perfume #Nadia Mat Isa a #usahawan #Sungai Petani
;