FAMA sasar RM200 juta eksport durian sejuk beku 2018
Bernama
Disember 23, 2017 20:18 MYT
Disember 23, 2017 20:18 MYT
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai eksport durian sejuk beku Musang King dan durian D24 mencecah sehingga RM200 juta tahun depan berbanding RM70 juta yang dicatatkan setakat ini.
Pengerusinya Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata nilai itu berdasarkan jangkaan pasaran lebih meluas terutama di China dan Singapura dengan hasil promosi yang dipergiatkan serta jangkaan cuaca yang baik pada 2018.
"Tahun ini cuaca yang tidak mengizinkan menyebabkan hasil keluaran terbantut... kami juga berharap negara China antara negara pengeksport terbesar dapat membenarkan pengeksportan secara biji agar lebih mudah dipasarkan di lebih banyak wilayahnya," kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pemasaran Durian Musang King serta menyerahkan anak pokok Musang King di Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam di sini pada Sabtu.
Pada majlis itu seramai 65 pemilik kebun dan dusun di daerah ini menerima sumbangan anak pokok itu.
Sementara itu, Badruddin berkata tanaman durian Musang King adalah antara sumber kekayaan baharu yang sepatutnya diterokai rakyat negara ini mulai sekarang kerana ia dapat memberikan pulangan yang begitu lumayan dalam tempoh lima tahun penanaman.
"Rakyat tidak perlu bimbang untuk melabur dalam pertanian ini kerana harganya terjamin...saya menyeru kepada generasi muda rebutlah peluang ini dengan cara mengkomersialkannya kerana permintaannya sangat tinggi juga dalam penghasilan produk hiliran berasaskan durian.
"Setiap pokok boleh menghasilkan kira-kira 50 biji durian dan setiap biji boleh dijual RM100, bayangkan kalau dapat jual 50 biji durian boleh menghasilkan RM5,000 bagi sepokok...ini menunjukan durian ini mempunyai potensi yang besar untuk diusahakan bermula sekarang," katanya.
Dalam pada itu, Badruddin berkata pihaknya juga merancang untuk menjadikan daerah Yan sebagai hab pengeluaran Musang King di negeri ini dalam tempoh lima tahun lagi.
Katanya selain mempunyai Gunung Jerai yang sesuai ditanam Musang King, persekitaran semula jadinya yang berhadapan dengan laut dan kawasan berbukit menjadikan daerah ini sesuai untuk tanaman pokok Musang King.
“...jika berjaya nanti, pelancong akan datang ke daerah Yan untuk menikmati Musang King dan sekali gus memajukan sektor pelancongan di daerah ini,” katanya.
-- BERNAMA