FAMA optimis capai sasaran 1,000 pasar tani menjelang 2020

Bernama
Februari 18, 2017 06:00 MYT
Sebanyak 664 pasar tani beroperasi di seluruh negara ketika ini, melibatkan 28,574 peserta, kata Tan Sri Badruddin Amiruldin. - Gambar fail
Sebanyak 664 pasar tani beroperasi di seluruh negara ketika ini, melibatkan 28,574 peserta, kata Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tan Sri Badruddin Amiruldin.
Beliau berkata jumlah itu menghampiri sasaran FAMA untuk mewujudkan 1,000 pasar tani di seluruh negara menjelang 2020.
"FAMA mahu bantu rakyat berniaga. Kami juga beri peluang kepada mana-mana graduan universiti yang masih belum mendapat pekerjaan untuk menjadi usahawan FAMA.
"Pengguna pula dapat menikmati harga barangan segar antara lima hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pasar Tani Masjid Kota Damansara di sini hari ini.
BACA: FAMA cadang wujud pusat pemasaran hasil pertanian, produk makanan di Sabah
Menurut Badruddin, FAMA juga tidak mengetepikan golongan asnaf dengan memberi peluang kepada golongan itu untuk menyertai bidang perniagaan.
"Untuk hari ini, 10 usahawan asnaf turut serta berniaga makanan dan minuman. Selain memberi tapak kepada mereka, FAMA juga sediakan kanopi serta peralatan berniaga," katanya.
Sementara itu, Badruddin berkata kerjasama FAMA bersama anggota jawatankuasa Masjid Kota Damansara telah membawa kepada kejayaan kewujudan pasar tani berkenaan.
"FAMA bekerjasama dengan anggota jawatankuasa masjid ini bersetuju memulakan pasar tani di perkarangan masjid. Ini yang pertama di Selangor dan keenam di negara ini," katanya.
-- BERNAMA
#AMA #pasar tani #Tan Sri Badruddin Amiruldin
;