The Face Style catat kadar penginapan 95% tahun ini, 80% pelancong China
Astro Awani
Disember 31, 2023 13:14 MYT
Disember 31, 2023 13:14 MYT
KUALA LUMPUR: Hotel mewah The Face Style optimis menjadi antara pemain utama dalam sektor perhotelan negara pada 2024, dipacu kadar penginapan kukuh mencecah 100 peratus pada hujung minggu, sepanjang tahun ini.
Pengarah Komunikasi Pemasarannya Nora Ismail berkata, meskipun baru beroperasi pada Januari lalu, hotel bertaraf lima bintang itu kini mencapai kadar penginapan purata sehari kira-kira 95 peratus, dengan 85 peratus kadar penginapan dicatatkan pada hari biasa.
Menurutnya, kebanyakan tetamu hotel itu terdiri daripada pelancong asing dengan warga China mencatatkan kehadiran paling tinggi sebanyak 80 peratus.
“Sementara itu, jumlah pelancong tempatan yang dicatatkan adalah sebanyak 20 peratus dan usaha menarik lebih ramai rakyat sedang agresif dilakukan dalam merancakkan industri pelancongan negara.
“Ini kerana, hotel ini menawarkan keselesaan, kemudahan dan kesambungan optimum untuk pengunjung perniagaan dan percutian yang terletak di tengah ibu kota, berdekatan pusat beli-belah ikonik iaitu Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC),” katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
The Face Style yang dibuka pada 16 Jan 2023 menawarkan 327 bilik dan suite yang serba lengkap dengan kolam renang atas bumbung bercirikan infiniti berlatar belakang pemandangan langit Kuala Lumpur yang menakjubkan.
Hotel yang dibangunkan Platinum Victory Property Management Sdn Bhd itu dilengkapi dengan perabot moden, kemudahan bilik mandi premium dan dapur kecil dengan mesin basuh berjenama untuk keselesaan tetamu.
Mengulas lanjut, Nora memberitahu, pihaknya sedang merancang untuk memberikan fokus dalam segmen makanan dan minuman (F&B) bagi memberi nilai tambah kepada tetamu pada tahun 2024.
Antara yang dalam perancangan, katanya, adalah memperkenalkan konsep santapan mewah untuk tetamu di bilik eksklusif yang menawarkan kualiti tinggi dengan harga mencecah RM3,000 seorang.
Selain itu, tambahnya, buat pertama kali, The Face Style juga akan menawarkan bufet berbuka puasa sepanjang Ramadan yang bakal menjelang.
“Pada tahun 2024, kami mahu aktif dengan momentum tinggi dalam segmen makanan dan minuman (F&B) agar sasaran jualan berjaya dicapai, malah lebih baik berbanding tahun ini.
“Justeru, segmen F&B menjadi keutamaan dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung untuk datang menikmati selera dan bukan sekadar datang menginap sahaja di sini,” katanya.