F&N sasar kekal peneraju produk tenusu
Bernama
Mei 8, 2013 16:46 MYT
Mei 8, 2013 16:46 MYT
Fraser & Neave (F&N) Holdings Bhd menyasarkan untuk mengekalkan kedudukan penerajunya di dalam segmen minuman tenusu, siap diminum, sambil mengukuhkan jenama di Malaysia, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ng Jui Sia pada Rabu.
Syarikat itu akan melabur dan lebih fokus pada produk penggunanya, pengedaran dan kemudahan bagi meningkatkan kualiti produk, katanya kepada taklimat media di sini hari ini mengenai keputusan separuh pertama tahun kewangan Fraser & Neave Holdings.
Katanya F&N akan turut berusaha mengekalkan agihan pasaran 60 peratusnya bagi segmen produk tenusu, antara 30 peratus hingga 35 peratus bagi produk minuman siap diminum dan 85 peratus bagi minuman ringan.
"Kami merancang melancarkan satu produk baharu, Oishi Green Tea pada Jun tahun ini dan berkeyakinan menarik pembeli melalui minuman baharu itu. Kami kini menduduki tangga pertama dalam segmen teh hijau dengan menguasai lebih 30 peratus agihan pasaran," katanya.
Ng berkata syarikat itu adalah pemain utama di Asia Tenggara pada masa ini dan merancang mengukuhkan kehadirannya di Asia pada tahun-tahun akan datang.
Sementara itu, keuntungan pracukai F&N meningkat kepada RM65.58 juta bagi suku kedua berakhir 31 Mac, 2013, berbanding dengan RM57.69 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
Perolehan juga meningkat kepada RM882.06 juta berbanding RM730.42 juta sebelum ini.
Syarikat itu berkata prestasi yang lebih baik itu sebahagian besarnya adalah berikutan pemulihan di segi tenusu di Thailand, yang disatukan dengan prestasi kukuh berbanding prestasi tahunan bahagian minuman ringan kumpulan itu.