F&N labur dalam jenama, pemasaran untuk raih kembali momentum jualan

Bernama
November 9, 2023 09:20 MYT
Lim (tengah) melawat reruai Borneo Springs selepas hadir pada taklimat mengenai prestasi syarikat bagi tahun 2023 di Kuala Lumpur, 8 Nov 2023. - Foto F&N
KUALA LUMPUR: Pelaburan dalam jenama dan pelaksanaan rancangan pemasaran yang berkesan akan mendorong Fraser Neave Holdings Bhd (F&N) meraih semula momentumnya, memandangkan jualan perayaan dan pengambilan di luar rumah meningkat kembali, ditambah dengan pemulihan ekonomi seterusnya di Malaysia dan Thailand.
Ketua Pegawai Eksekutif, Lim Yew Hoe berkata syarikat berjaya mengatasi cabaran pasaran seperti harga gula yang tinggi dan persekitaran geopolitik yang tidak menentu menerusi harga yang berkesan, strategi portfolio dan pelaburan jangka panjang yang memperkukuh rantaian bekalan dan pengurusan risikonya.
Semua usaha itu telah membuahkan hasil serta mempertingatkan prestasi syarikat bagi tempoh suku ke suku, katanya pada sesi taklimat mengenai prestasi syarikat bagi setahun penuh 2023 di sini, semalam.
Beliau berkata keutamaan syarikat adalah menumpukan aspek kecekapan operasi, kecemerlangan komersial dan disiplin fiskal di seluruh rantaian nilainya, projek ladang tenusu dan penyepaduan tonggak makanan.
Lim berkata syarikat juga telah meletakkan asas yang amat kukuh untuk mempertingkatkan daya tahan menerusi pelaksanaan strategi kemampanan jangka masa sederhana dan panjang sejak beberapa tahun lepas.
"Walaupun menghadapi cabaran seperti turun naik ketara harga komoditi selain tekanan inflasi masih kekal, kami yakin dengan keputusan yang dibuat secara cekap, tumpuan kepada pengurusan saluran, serta komitmen terhadap inovasi dan kecemerlangan akan membantu kami menyesuai dengan keadaan dan melindungi margin.
"Kami akan terus berhati-hati dalam persekitaran yang tidak menentu ini, memanfaatkan portfolio jenama kami yang pelbagai, perniagaan dan kehadiran secara geografi mengharungi cabaran ini secara proaktif.
Menurut kenyataan, F&N merekodkan keuntungan bersih terlaras sebanyak RM489.7 juta dengan perolehan sebanyak RM5 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Sept, 2023 berbanding keuntungan bersih terlaras RM400 juta dan perolehan RM4.47 bilion bagi tahun kewangan 2022.
Syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih terlaras RM136 juta bagi suku keempat berbanding RM99.6 juta bagi suku yang sama pada tahun kewangan 2022.
-- BERNAMA
#keuntungan bersih #pelaburan #F&N #jenama
;