Exim Bank sasar keluarkan pinjaman RM5 billion tahun depan
Bernama
November 20, 2012 15:53 MYT
November 20, 2012 15:53 MYT
Export-Import Bank of Malaysia Bhd (Exim Bank) menyasarkan untuk mengeluarkan pinjaman bernilai RM5 bilion tahun depan, terutamanya bagi pembiayaan projek-projek prasarana dalam rantau Asean.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Exim Bank, Datuk Adissadikin Ali, berkata bank itu menjangka untuk menyalurkan kira-kira 60 peratus daripada sasaran itu bagi pembiayaan berjangka, manakala 40 peratus selebihnya adalah bagi pembiayaan perdagangan.
Beliau berkata tahun ini, Exim Bank menyasarkan untuk mengeluarkan pinjaman bernilai RM2 bilion.
"Kami menepati perancangan untuk mencapai sasaran itu dengan baki masa sebulan lagi. Pada masa ini kami hampir mencapai RM2 bilion.
"Tahun ini, ia akan lebih dipacu oleh projek-projek prasarana yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat Malaysia di rantau Asia Tenggara," kata Adissadikin kepada pemberita selepas upacara menandatangani perjanjian kerjasama antara Exim Bank, empat agensi kredit eksport Timur Tengah dan GARANT AG dari
Austria, di sini hari ini.
Kata beliau, sasaran RM5 bilion itu boleh dicapai meskipun persekitaran ekonomi semasa lembap, dan keadaan ini dijangka berlanjutan hingga tahun depan.
"Kami sedang berusaha mewujudkan kesedaran dan melibatkan pengeksport Malaysia untuk meningkatkan portfolio pembiayaan perdagangan kami.
"Beberapa tahun lalu, tiada siapa pun tahu tentang Exim Bank, tetapi kini ia telah mendapat pengiktirafan dan kami akan terus berhubungan dengan pemilik kepentingan berkaitan," kata Adissadikin.
Exim Bank, yang ditubuhkan pada 1995, ialah entiti milik penuh Kementerian Kewangan (Diperbadankan).
Mengenai kerjasama yang ditandatangani hari ini, Adissadikin berkata perjanjian itu akan memberikan peluang kepada Exim Bank Malaysia untuk menambah kefahaman tentang industri insurans dan insurans semula kredit dalam pasaran-pasaran Afrika Utara Timur Tengah (MENA) melalui bantuan teknikal,
program latihan dan pertukaran maklumat.
Sementara itu, perjanjian kerjasama antara Exim Bank dan GARANT AG menggariskan bidang-bidang kerjasama komersial dan teknikal, pertukaran maklumat, sokongan teknikal, pembangunan insurans semula fakultatif dan tindakan pemasaran.