Everprosper Food Industries raih 'Anugerah Produk Baharu Terbaik 2013' di Jerman

Bernama
Mac 11, 2013 08:42 MYT
Everprosper Food Industries Sdn Bhd, industri makanan organik pertama Malaysia, berjaya meraih 'Anugerah Produk Baru Terbaik 2013' di BioFach 2013 di Nuremburg, Jerman.
Acara yang dihoskan Persekutuan Pergerakan Pertanian Organik Antarabangsa dan Persekutuan Industri Makanan Organik Jerman pada 13 hingga 15 Februari adalah antara pameran tahunan terbesar dunia bagi produk organik.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata acara tahun ini menyaksikan penyertaan 2,400 peserta dari 83 negara dan dikunjungi lebih 50,000 peniaga dan pakar makanan organik.
Lebih 100,000 produk berbeza, yang terdiri daripada produk makanan organik hingga barangan bukan makanan seperti kosmetik semulajadi dan eko-tekstil, di pamerkan, demikian menurut agensi promosi perdagangan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Everprosper Food Industries Phoon Yih Pyng berkata syarikat beliau telah mengambil bahagian pada pameran perdagangan itu sejak lima tahun yang lalu, mempromosikan pelbagai jenis mi organik dan menjadi syarikat tunggal Malaysia dalam kalangan peserta pameran antarabangsa.
Beliau berkata hanya syarikat-syarikat diberi pensijilan organik antarabangsa sahaja yang dibenarkan menyertai BioFach.
"Produk organik yang dikeluarkan oleh Everprosper Food Industries disahkan oleh Persatuan Kebangsaan untuk Pertanian Lestari Australia, Program Organik Kebangsaan Jabatan Pertanian Amerika Syarikat dan pensijilan organik WIT China," katanya.
Syarikat berkenaan yang merupakan anggota Matrade sejak 2002, telah menyertai secara aktif dalam program Matrade dengan tumpuan kepada mempromosikan produk makanan diproses seperti Anuga di Cologne dan Salon International de l'Alimentation di Paris.
Destinasi eksport semasanya termasuk China, Singapura, Indonesia, Taiwan, Hong Kong, India, Australia, New Zealand, United Kingdom, Jerman, Norway, Amerika Syarikat dan Kanada.
Matrade berkata pengguna Jerman membelanjakan US$8.5 bilion (RM26.44 billion) pada produk organik tahun lepas.
Ia berkata jualan produk organik meningkat hampir 10 peratus pada 2011, mengekalkan jumlah yang sama tahun lepas dan dijangka meningkat tahun ini berikutan minat pengguna yang kukuh untuk mencari alternatif yang lebih sihat.
Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di Frankfurt Jai Shankar Suppayah berkata peluang eksport yang wujud untuk hasil khusus organik Malaysia di Jerman, terutamannya teh organik, sayur-sayuran dan buah-buahan.
Beliau, bagaimanapun, berkata pengeksport Malaysia mesti mematuhi keperluan pasaran, terutamanya yang diperlukan untuk pensijilan organik dan dihasilkan mengikut piawaian makanan organik, Eropah yang boleh dianggap mencabar kerana melibatkan kebolehkesanan dan integriti rantaian bekalan.
"Pengeksport makanan organik Malaysia juga perlu membangunkan penjenamaan yang sesuai untuk memastikan pengguna Jerman bersedia membayar harga premium bagi produk sedemikian," katanya.
Pengeksport dan pengeluar produk organik Malaysia, yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai peraturan yang komprehensif dalam mengeksport produk organik ke pasaran Eropah, boleh menghubungi pejabat Matrade di Frankfurt.
#Anugerah Produk Baru Terbaik 2013 #BioFach 2013 #Everprosper Food Industries #industri makanan organik pertama Malaysia