EUDR tidak wajar tetapkan Malaysia negara berisiko tinggi - Fadillah

Bernama
Mac 16, 2023 18:00 MYT
Fadillah berkata, kadar penebangan hutan di negara ini secara relatifnya adalah sifar dan skim pensijilan MSPO membuktikan komitmen terhadap piawaian kemampanan yang komprehensif. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Hasrat Eropah untuk menetapkan Malaysia sebagai negara berisiko tinggi di bawah Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) adalah tidak wajar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata kadar penebangan hutan di negara ini secara relatifnya adalah sifar dan skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) membuktikan komitmen terhadap piawaian kemampanan yang komprehensif.
"Malaysia tidak berisiko tinggi, pekebun kecil kita tidak berisiko tinggi dan tidak boleh dikategorikan sedemikian.
"Sehingga kini, kebimbangan dan tuntutan ini masih belum ditangani secara serius oleh pemimpin EU (Kesatuan Eropah) dan akibatnya, nasib serta mata pencarian pekebun kecil Malaysia masih tidak menentu. Oleh itu, kita menggesa EU untuk membetulkan keadaan dengan berkesan dan secepat mungkin," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
EUDR, yang digubal pada 6 Dis 2022, mengkehendaki semua syarikat berkaitan mematuhi penilaian wajar mandatori sekiranya mahu menjual produk di pasaran EU selain membuktikan produk mereka bebas penebangan hutan dan menyediakan maklumat geografi yang tepat di mana sumber komoditi itu diperoleh.
Fadillah berkata beliau mengambil maklum mengenai kebimbangan pekebun kecil Malaysia berhubung langkah EUDR yang memberi kesan serius terhadap mata pencarian mereka dan berjanji akan membawa suara mereka kepada EU.
Semalam, lebih 500 pekebun kecil dari seluruh negara menandatangani petisyen berhubung pendirian bersama bagi mendesak EU mengkaji semula EUDR, yang didakwa bersifat diskriminasi, dan mengiktiraf MSPO serta mengeluarkan Malaysia daripada senarai negara berisiko sekiranya EUDR dilaksanakan.
Petisyen itu diserah kepada Kedutaan Delegasi EU di Malaysia oleh enam wakil agensi dan persatuan sektor kelapa sawit iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) serta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA).
Fadillah berkata pekebun kecil bergantung kepada eksport minyak sawit, getah dan komoditi pertanian lain untuk menyara keluarga namun peraturan EUDR menjadi halangan perdagangan yang besar bagi mereka mengakses pasaran Eropah.
"Ini akan mengakibatkan peningkatan kemiskinan, penurunan pendapatan isi rumah dan menggugat masyarakat luar bandar kita," katanya.
Beliau berkata tindakan sedemikian adalah tidak adil dan bertentangan dengan komitmen EU seperti yang digariskan dalam Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).
"Pekebun kecil berhak dilayan secara adil dan mesti dikecualikan daripada tuntutan peraturan yang tidak realistik," katanya.
Pada 17 Feb lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menggesa agar EUDR dikaji semula kerana memberikan kerumitan dan cabaran kepada industri minyak sawit namun menyatakan Malaysia berdepan sedikit kesukaran dalam siri rundingan dengan EU untuk membincangkan perkara itu.
-- BERNAMA
#Fadillah Yusof #eropah #sawit #malaysia negara berisiko tinggi
;