EU-Asean lancar kertas cadangan untuk tingkat akses pasaran Eropah & ASEAN
Bernama
Julai 17, 2015 11:45 MYT
Julai 17, 2015 11:45 MYT
Majlis Perniagaan Kesatuan Eropah-ASEAN (EU-ASEAN), suara perniagaan Eropah di Asia Tenggara, melancarkan kertas cadangan kedudukan serantau bagi meningkatkan akses pasaran serta meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara Eropah dan ASEAN.
Dalam satu kenyataan hari ini, majlis itu berkata Eropah merupakan sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) dan kertas itu meneroka kaedah untuk membuka lagi pasaran, selari dengan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN.
"Antara cadangan utama dalam senarai itu ialah pemansuhan halangan bukan tarif ke atas dagangan, selain prosedur kastam yang menyusahkan dan tidak seragam di seluruh ASEAN; prosedur dan peraturan permohonan luar jangka yang menjejaskan keupayaan perniagaan untuk membuat keputusan pelaburan bermaklumat dalam jangka panjang.
"Kertas itu akan terus memberi tumpuan ke atas pemilikan asing dan halangan persaingan asing dan standard yang tidak seragam di rantau ini," katanya.
Selari dengan pelancaran itu, EU menerbitkan perangkaan perdagangan dan pelaburan EU-ASEAN yang mengesahkan bahawa EU merupakan rakan dagang kedua penting ASEAN selepas China, dengan menyumbang 13 peratus dagangan barangan ASEAN, katanya.
Antara 2004 dan 2014, dagangan ASEAN-EU tumbuh pada kadar kompaun tahunan 4.7 peratus manakala lembaran perdagangan memihak kepada ASEAN dengan EU mengimport lebih banyak dari rantau ini berbanding eksport.
"Singapura ialah rakan dagang paling penting EU di ASEAN, menyumbang 25.1 peratus dagangan barangan ASEAN-EU, diikuti Malaysia (18.8 peratus), Thailand (17.3 peratus) dan Vietnam (15.8 peratus)," katanya.
Perangkaan itu juga menunjukkan EU merupakan pelabur terbesar ASEAN, dengan �156 bilion FDI pada 2013 dan ia menyumbang 22 peratus aliran pelaburan ke ASEAN, diikuti Jepun sebanyak 18.7 peratus.
Bagi FDI EU, Singapura menyumbang 60 peratus, Indonesia (15 peratus peratus) dan Malaysia (11 peratus).
Duta EU ke Singapura Dr Michael Pulch berkata: "EU mempunyai kepentingan besar untuk memastikan kejayaan berterusan Singapura dan ASEAN dan komited menjadi rantau ini lebih bertenaga dan dinamik, dengan meningkatkan peniagaan, hubungan pelaburan dan perniagaan bagi mewujudkan peluang-peluang baharu untuk pertumbuhan ekonomi.
Kertas akses pasaran oleh Majlis Perniagaan EU-ASEAN menangani sebilangan isu-isu penting termasuk mengenai rangka kerja kawal selia, ketelusan dan bukan diskriminasi antara pengendali ekonomi untuk menggalakkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan".
Sementara itu, Pengarah Eksekutif EU-ABC/Pengarah Eksekutif, Majlis Perniagaan EU-ASEAN Chris Humphrey berkata perangkaan perdagangan dan pelaburan menunjukkan pentingnya hubungan perdagangan antara kedua-dua rantau yang dinamik ini.
"Kertas itu dilancarkan pada masa yang penting ketika ASEAN bersedia untuk melancarkan AEC akhir tahun ini.
Kedudukan dasar yang digariskan dalam kertas kerja ini bertujuan membantu mereka bentuk agenda pasca 2015, dan akan dibincangkan lagi apabila komuniti perniagaan Eropah dan ASEAN mengambil bahagian dalam sesi dialog dengan menteri-menteri ekonomi ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN-EU pada Ogos," katanya.