Dasar propertumbuhan serta insentif bagi menggerakkan sektor swasta merupakan elemen penting dalam membantu memulihkan negara daripada kelembapan ekonomi serantau dan dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, ia diterajui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang membawa lonjakan besar dalam pelaburan swasta.

Najib menyatakan demikian pada sesi siaran televisyen dengan Al-Jazeera bertajuk "Kemelesetan Ekonomi dan Kejayaannya" pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland.

Najib menegaskan keadaan ekonomi semakin baik di Malaysia dengan negara mencatat pertumbuhan perlahan.

Ia sama seperti ekonomi Asia dan Asia Timur yang lain walaupun dunia mengalami krisis ekonomi, dan tidak seperti Eropah yang mengalami penguncupan.

Najib berkata, pencergasan sektor swasta menerusi ETP yang dilancarkan pada 2010, mewujudkan lebih 300,000 pekerjaan dan menurunkan kadar pengangguran kepada 3.1% yang dianggap sebagai pekerjaan penuh.

Menyentuh dasar peluasan yang dilaksanakan oleh Malaysia semasa krisis kewangan tahun 1997/98 serta pakej rangsangan yang disuntik dalam ekonomi beberapa tahun lepas, beliau berkata ia mencetuskan aktiviti ekonomi dalam negara dan memberi sinar harapan meskipun ekonomi serantau dan dunia suram.