ERP: Pengecualian duti lonjak nilai eksport sawit
Astro Awani
Jun 5, 2020 21:36 MYT
Jun 5, 2020 21:36 MYT
Pengecualian 100 peratus duti eksport ke atas industri berasaskan minyak sawit, seperti diumum dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) akan membantu meningkatkan nilai eksport komoditi itu ke luar negara.
Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata langkah itu juga secara langsung membantu pekebun kecil secara amnya dengan hasil keluaran mereka akan lebih cepat diterima kilang.
"Pengumuman ini pastinya akan membantu kita meningkatkan lagi nilai eksport sawit Malaysia ke luar negara, terutama India kerana kerajaan negara itu tidak lagi melanjutkan sekatan import terhadap minyak sawit ditapis.
"Malah, ini jelas menunjukkan kecaknaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, terhadap kepentingan sawit negara dan sekali gus akan membantu pekebun kecil amnya dan pengusaha industri khususnya, untuk menerokai pasaran antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Semasa Perutusan Khas Pelan Pemulihan Ekonomi (ERP) Jangka Pendek, Muhyiddin memaklumkan kerajaan memberi pengecualian 100 peratus duti eksport ke atas minyak sawit mentah, minyak isi rong mentah dan minyak isi rong sawit yang diproses mulai 1 Julai hingga 31 Disember tahun ini.
Sejak 1 Jun lalu, peningkatan harga bagi minyak sawit mentah (MSM) atau Crude Palm Oil (CPO)
mencecah RM2,366 dan pada 3 Jun sebanyak RM2,389.50 untuk satu tan.
Kata Ahmad Jazlan, ia sekali gus memberi manfaat langsung kepada 492,000 pekebun kecil dan 258,657 pekebun persendirian di seluruh Malaysia.
Tambahnya, pengumuman itu turut membuktikan industri sawit menjadi nadi penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ketika ini.
"Angka itu menyaksikan kenaikan lebih awal daripada jangkaan MPOB.
"MPOB berharap peningkatan harga ini, akan membantu pihak industri untuk terus komited bersama-sama kami menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
"Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada Perdana Menteri di atas pengumuman pelan baru ini yang akan membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara. Ini adalah kerajaan untuk rakyat," ujarnya.
Pada tahun lalu jelasnya, sumbangan komoditi sawit meningkat kepada 4.76 peratus.
"MPOB turut berharap momentum peningkatan harga ini terus stabil dan berterusan sekali gus menjamin tahap sosio-ekonomi mereka yang terbabit dalam industri ini.
"Ia juga dapat membantu ekonomi negara yang terkesan dengan wabak pandemik COVID-19. Sebagai rekod, sektor pertanian menyumbang 7.3 peratus (RM99.5 bilion) kepada KDNK pada 2018.
"Daripada itu, kelapa sawit adalah penyumbang utama kepada KDNK sektor pertanian iaitu 37.9 peratus diikuti pertanian lain (25.1 peratus), ternakan (14.9 peratus), perikanan (12.5 peratus), perhutanan dan pembalakan (6.9 peratus) dan getah (2.8 peratus)," katanya.
#Datuk Ahmad Jazlan Yaakub
#duti eksport
#ERP
#minyak sawit
#MPOB
#Pelan Jana Semula Ekonomi Negara
#pelan pemulihan ekonomi
#PENJANA