Eropah, AS akan terus serang minyak sawit

Fauzi Suhaimi
Oktober 6, 2020 16:42 MYT
Ahmad Parveez (kiri) dan Ramle (kanan) ketika dalam sidang media selepas Majlis Luncheon with Editors di Kuala Lumpur pada Selasa. - Astro AWANI/Fauzi Suhaimi
KUALA LUMPUR: Produk minyak sawit negara tetap akan menjadi sasaran utama negara Eropah dan Amerika Syarikat berikutan menjadi saingan utama kepada produk minyak sayuran lain.
Pengarah Urusan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Khadir berkata, ini kerana, potensi produk sawit diakui lebih baik selain kos yang murah serta lestari terhadap alam sekitar.
Katanya, beliau tidak menolak ancaman ini akan berterusan pada masa akan datang.
"Apa yang kita boleh lakukan adalah dengan memperhebatkan lagi kajian bagi membuktikan bahawa produk sawit jauh lebih baik jika dibandingkan dengan produk minyak yang dihasilkan daripada kacang soya atau bunga matahari.
"Kajian-kajian berkenaan telah dilakukan bukan sahaja kajian dalam negara, malah di luar negara turut membuktikan produk sawit terbukti secara klinikal.
"Oleh itu, mereka akan terus mencari alasan dan isu untuk memberi tekanan kepada produk kita," katanya dalam sidang media selepas majlis Lunchen Talk with Editors di sini pada Selasa.
Majlis itu sepatutnya dihadiri Pengerusi MPOB, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, tetapi beliau komited melakukan kuarantin kendiri meskipun mendapati negatif ujian COVID-19 pada hari pertama dan kelima.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) MPOB, Dr Ramle Moslim berkata, semua pengusaha sawit baik pengilang mahupun persendirian diwajibkan untuk mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPSO) bagi mengelakkan berdepan masalah pada masa akan datang.
Katanya, sehingga kini, sebanyak 25.5 peratus pekebun kecil sudah berdaftar pensijilan berkenaan manakala 50 peratus lagi masih belum berdaftar.
"Kita memohon agar mereka yang masih belum daftar untuk datang mendaftar pensijilan ini bagi mengelakkan wujud masalah pada masa akan datang.
"Ini kerana, jika mereka gagal mempunyai sijil itu mungkin tidak akan dapat memperbaharui lesen pengusaha ladang.
"Selain itu, mereka juga mungkin akan berdepan dengan tawaran harga yang lebih rendah oleh syarikat yang ada sijil," jelasnya.
BACA: Minyak sawit: Permintaan global dijangka meningkat
BACA: Sekat import sawit: Harap AS akan terima penerangan diberikan FGV - Mustapa
BACA: Amerika Syarikat haramkan import produk sawit dari FGV
#Amerika Syarikat #minyak #Malaysia #MPOB #Pengarah Urusan Lembaga Minyak Sawit Malaysia MPOB Dr Ahmad P #Produk minyak sawit negara #negara eropah dan Amerika Syarikat #Dr Ahmad Parveez Ghulam Khadir #industri sawit
;