Ericsson komited giat ekosistem 5G, pelaburan di Malaysia

Umavathi Ramayah
Julai 22, 2022 08:54 MYT
Ismail Sabri (tengah) berkata, perbincangan hari ini bertumpu kepada status terkini pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia. - Foto Pejabat Perdana Menteri
PUTRAJAYA: Syarikat telekomunikasi gergasi dari Sweden, Ericsson menyatakan komitmen untuk terus mempergiatkan ekosistem rangkaian liputan 5G dan pelaburan syarikat multi nasional itu di Malaysia.
Dalam catatan di akaun Facebooknya hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dimaklumkan ketika kunjungan hormat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ericsson Group, Börje Ekholm di pejabatnya di sini, pada Jumaat.
"Perbincangan ini tertumpu kepada status terkini pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia yang mampu menjadi perintis kepada pembangunan prasarana dan liputan rangkaian 5G," katanya.
Perdana Menteri turut menyatakan keyakinan bahawa rangkaian 5G mampu melonjakkan daya saing ekonomi Malaysia serta tahap produktiviti dan nilai tambah industri.
"Saya berharap pelaksanaan rangkaian 5G mampu memberi impak positif terhadap liputan komunikasi kepada Keluarga Malaysia," ujarnya.
Ericsson yang sudah berada di Malaysia sejak 57 tahun yang lalu merupakan syarikat peneraju dalam teknologi 5G di rantau ini.
#ismail sabri yaakob #Ericsson #5G #Kementerian Komunikasi dan Multimedia