Era campur tangan Tun Mahathir dalam Proton kini berakhir - Najib

Astro Awani
Jun 14, 2016 14:25 MYT
Menurut Najib, terlalu banyak campur tangan politik termasuk dalam urusan kakitangan dan model perniagaan sewaktu Dr Mahathir memegang jawatan Pengerusi syarikat kereta nasional itu. - fotoBERNAMA/Fail
Zaman keemasan Proton Holdings Bhd (Proton) akan mampu dikembalikan selepas campur tangan politik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berakhir, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menyifatkannya sebagai satu lembaran baharu dalam sejarah syarikat itu, perdana menteri ingin melihat Proton dapat memulakan era baharu inovasi dan pertumbuhan, bebas dari campur tangan politik.
Katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, terlalu banyak campur tangan politik termasuk dalam urusan kakitangan dan model perniagaan sewaktu Dr Mahathir memegang jawatan Pengerusi syarikat kereta nasional itu.
"Sekarang, saya dengan rasa sukacita mengatakan terdapat perubahan di peringkat tertinggi Proton, era campur tangan politik Tun Mahathir kini sudah berakhir.
"Kesannya dapat dilihat awal tahun ini. Syarikat pengeluar yang seharusnya menjadi kebanggaan negara sebaliknya berhadapan situasi amat sukar," katanya.
Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Proton pada 30 Mac lalu, selepas menyandangnya sejak 2014.
Kata Najib, komitmen Kerajaan terhadap syarikat itu terbukti dengan kelulusan pinjaman berjumlah RM1.5 bilion kepada Proton pada April lalu.
"Wujud keperluan untuk suntikan tunai segera membuktikan terdapat kelemahan di dalam Proton.
"Sebahagiannya telah lama. Persoalan timbul sama ada model perniagaannya mempunyai kelemahan dari mula. Malaysia, kata sesetengah orang, tidak cukup besar untuk pasaran kereta nasional.
"Proton berkembang, ya, tetapi dengan banyak bantuan dari Kerajaan. Industri kereta kita membangun dengan banyak perlindungan, kuota saiz enjin dan rakyat Malaysia membayar harga yang tinggi untuk duti import kereta asing," katanya.
Menurut Najib lagi, Kerajaan terpaksa campur tangan untuk membantu Proton bagi melindungi pekerjaan rakyat Malaysia dan keluarga mereka yang bergantung kepada Proton.
"Kerajaan masuk campur kerana hal ehwal kehidupan rakyat adalah keutamaan kami. Kerajaan tidak pernah gagal untuk menyokong golongan pekerja dan pembekal. Kami akan terus memperjuangkannya agar tiada siapa pun yang akan ketinggalan," tambahnya.
Awal hari ini dalam satu majlis di Putrajaya, Najib melancarkan model terbaharu Proton Perdana generasi ke-4 Proton.
Proton mensasarkan jualan 3,000 unit model Proton Perdana baharu ini menjelang akhir tahun ini.
#Najib Razak #Proton #Proton Perdana #Tun Mahathir
;