Enam projek baharu bakal dibangunkan di Bio Desaru tahun depan libatkan pelaburan RM792 juta

Bernama
Disember 5, 2022 14:58 MYT
Salah satu daripada projek berkenaan melibatkan pembangunan pusat pengumpulan, pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran Bio Desaru dengan anggaran kapasiti pengeluaran produk sebanyak 10,000 sebulan. - Bernama
ISKANDAR PUTERI: Enam projek baharu melibatkan pelabur dalam negeri dan juga luar negara dijangka dibangunkan di kawasan Bio Desaru, Kota Tinggi, tahun depan dengan nilai pelaburan sebanyak RM792 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor Datuk Zahari Sarip berkata ini adalah antara usaha kerajaan negeri dalam mencapai matlamat Johor sebagai Bakul Makanan Malaysia.
Beliau berkata salah satu daripada projek berkenaan melibatkan pembangunan pusat pengumpulan, pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran Bio Desaru (Bio Desaru CPPDC) dengan anggaran kapasiti pengeluaran produk sebanyak 10,000 sebulan.
Selain itu, katanya, projek penternakan ikan menggunakan Malaysia Recirculated Aquaculture System (RAS) 2020 turut dibangunkan dengan anggaran pengeluaran 10,000 tan ikan setahun.
"Kita juga akan membangunkan projek penternakan udang dan akuapelancongan dengan anggaran pengeluaran 4,500 tan udang setahun selain projek tanaman nenas MD2 dan tanaman kontan melibatkan pengeluaran 540,000 biji nenas dan 598,000 kilogram tanaman kontan seperti lada, bendi dan pisang berangan setahun.
"Turut dibangunkan adalah projek tanaman kelapa pandan dan pisang berangan dengan anggaran pengeluaran 1.15 juta biji kelapa dan 450,000 kg pisang setahun serta projek pembangunan Integrated Sustainable Food Production Zone (Bio Desaru ISFPZ) dengan anggaran pengeluaran 2,000 tan sayur-sayuran dan ikan setahun," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.
Zahari (BN-Buloh Kasap) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Rashidah Ismail (BN-Pasir Raja) mengenai tanah kerajaan yang telah dan sedang diusahakan dengan tanaman bernilai tinggi bagi tujuan domestik dan eksport dalam usaha menjadikan Johor sebagai Negeri Maju pada 2023 dengan jaminan bekalan makanan.
Menurutnya, lembah makanan Bio Desaru dibangunkan untuk menyahut usaha kerajaan negeri ke arah memperkukuh rantaian pengeluaran makanan dengan memperluaskan aplikasi bioteknologi secara berkesan dalam mengkomersialkan pertanian selain menitikberatkan biosekuriti dan pemeliharaan ekologi.
Bermula dari awal pembangunannya, beliau berkata, terdapat 29 projek merangkumi projek telah siap, sedang dibangunkan dan belum memulakan pembangunan melalui perjanjian kerjasama antara Bio Desaru Sdn Bhd dan 23 syarikat pelabur dengan jumlah pelaburan keseluruhan ialah RM1.138 bilion.
Namun begitu, dari jumlah keseluruhan tersebut hanya 18 projek yang masih aktif pada masa ini, tambah Zahari.
-- BERNAMA
#Bio Desaru #pelaburan #Datuk Zahari Sarip #Bakul Makanan Malaysia
;