Emirates Airlines umum kerugian AS$5.5 bilion
Astro Awani
Jun 15, 2021 05:45 MYT
Jun 15, 2021 05:45 MYT
DUBAI: Syarikat penerbangan Emirates Airlines mengumumkan kerugian bersih AS$5.5 bilion sepanjang tahun 2020.
Kerugian besar itu berpunca daripada sekatan perjalanan global yang membawa kepada penurunan pendapatan melebihi 66 peratus.
Ini kali pertama dalam tempoh lebih tiga dekad, syarikat penerbangan yang berpangkalan di Dubai itu tidak menghasilkan sebarang keuntungan.
Disebabkan pandemik COVID-19 ini juga, Emirates melaporkan pendapatan syarikat itu menurun sebanyak AS$8.4 bilion, meskipun kos operasi berkurangan 46 peratus.
Emirates yang memperoleh keuntungan sebanyak AS$288 juta pada 2019, memaklumkan jumlah penumpang dan muatan menurun 58 peratus pada 2020.
Awal tahun ini, emirates telah menggunakan kapasiti kargonya yang besar untuk menghantar jutaan dos vaksin COVID-19 ke seluruh dunia.