Emas masih instrumen pelaburan selamat
Najib Aroff
Julai 21, 2015 19:37 MYT
Julai 21, 2015 19:37 MYT
Meskipun harga emas jatuh di bawah paras AS$1100 se ounce (28.3 gram), namun ia masih satu instrumen pelaburan yang selamat.
Pakar Produk Derivatif Philip Futures Sdn Bhd, David Ng berkata harga emas dijangka stabil bagi jangka masa panjang setelah isu-isu utama ekonomi termasuk kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) diselesaikan.
"Kejatuhan harga emas menjadikan ia lebih menarik. Pelabur perlu faham kejatuhan harga adalah disebabkan beberapa faktor asas. Ini termasuk pengukuhan dolar," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Menurut Ng, antara faktor adalah kenaikan kadar faedah AS yang menjadikan pelaburan emas kurang menarik.
Ini dibuktikan pada dagangan Isnin di mana stok emas Shanghai menyaksikan jualan 33 tan emas sekaligus menolak jatuh harga emas sebanyak 4 peratus.
Pelabur di China memilih untuk menjana tunai bagi pelaburan dalam pasaran ekuiti yang lebih menarik.
Sementara itu, presiden Persatuan Penjual Barang Kemas, Ermin Siow berkata emas akan kekal pada harga rendah untuk tempoh lama.
"Selain faktor kenaikan kadar faedah AS, kuasa membeli juga berkurangan, jadi saya rasa harga akan kekal rendah," katanya ketika dihubungi.
Harga emas jatuh kepada AS$1088.05 se ounce pada dagangan Isnin di Shanghai selepas pelabur melihat ia tidak lagi menjadi instrumen pilihan.
China kini berdepan lebihan bekalan selepas volum import besar pada 2013 di mana harga emas ketika itu mencecah rekod tertinggi AS$1980 se ounce.
Rizab Persekutuan AS dijangka menaikan kadar faedah pasa September 2015 selepas mengekalkan angka pada hampir sifar sejak krisis kredit 2008.