ElevenLabs Reader kini boleh dimuat turun, baca teks dengan pelbagai gaya suara

Amanz
Ogos 20, 2024 13:40 MYT
Antara suara yang boleh digunakan adalah selebriti seperti Judy Garland, James Dean, Burt Reynolds dan Sir Laurence Olivier. -Amanz
ELEVENLABS adalah antara syarikat yang memfokuskan kepada pembangunan teknologi kecerdasan buatan generatif.
Antara ciri popular yang ditawarkan adalah menjana suara atau mengklonkan suara.
Teknologi mereka telah digunakan oleh Qalbox dan Rabbit R1. Terbaru, mereka telah memperluaskan penawaran aplikasi Reader yang boleh membaca teks dalam pelbagai gaya suara.
Reader telah dilancarkan pada bulan Jun lepas, tetapi terhad di negara Amerika Syarikat, UK dan Kanada. Baru-baru ini ia telah ditawarkan secara meluas untuk semua pengguna iOS.
Dengan aplikasi ini, pengguna boleh muat naik apa-apa kandungan berasaskan teks seperti dokumen PDF atau buku digital dan juga artikel.
Teks tersebut kemudiannya akan dibacakan oleh suara yang dijana AI generatif.
Antara suara yang boleh digunakan adalah selebriti seperti Judy Garland, James Dean, Burt Reynolds dan Sir Laurence Olivier.
Bahasa yang disokong pula adalah Portugal, Sepanyol, Perancis, Hindi, Jerman, Jepun, Arab, Korea, Itali, Tamil dan Sweden.
Reader dikuasakan dengan model Turbo v2.5 dengan sela masa rendah serta audio lebih berkualiti.
Akan datang, ElevenLabs akan memberi sokongan akses luar talian. Aplikasi untuk Android pula kini dalam pembangunan. -Amanz
#AI Generatif #ElevenLabs Reader #jana suara #kecerdasan buatan