Elegan dan premium, Honda lancar CR-V serba baharu
Hasimi Muhamad
Disember 15, 2023 16:46 MYT
Disember 15, 2023 16:46 MYT
KUALA LUMPUR: Honda Malaysia secara rasmi telah melancarkan kereta utiliti sukan (SUV), CR-V serba baharu, dalam bentuk luaran yang elegan serta dalaman premium dan luas.
Model generasi keenam itu bakal mendefinisikan semula pasaran SUV dan memperlihatkan DNA Honda melalui teknologi-teknologi canggih dan rekaan baharu.
Dengan pilihan dua enjin dan tersedia dalam empat varian, CR-V serba baharu menawarkan pilihan khusus untuk memenuhi kehendak dan keperluan pelbagai pelanggan.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Sarly Adle Sarkum, enjin e:HEV 2.0L menjadi tonggak CR-V serba baharu bagi varian RS, selain ia hadir dengan Sistem Audio Premium 12 pembesar suara daripada Bose.
"SUV CR-V ini istimewa sebab ia merupakan produk Honda Malaysia yang pertama dipasang di negara ini.
"... satu lagi kita tengok dari segi reka bentuk luaran dan dalaman SUV baharu ini sangat elegan dan moden," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran pada Khamis.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan Honda Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura; dan Ketua Projek Utama CR-V serba baharu, Eisuke Sato.
Sementara itu, Honda Malaysia dalam kenyataan berasing berkata buat julung kalinya, varian RS turut dipadankan dengan Transmisi Boleh Laras Berterusan Elektrik (e:CVT) bagi menyediakan prestasi enjin cemerlang, penjimatan minyak serta kesesuaian kuasa tinggi.
Bagi varian S, E atau V pula, ia didatangkan dengan enjin berprestasi tinggi 1.5L VTEC Turbo yang mencapai kuasa maksimum 193PS dan tork maksimum 243Nm.
"Berfungsi bersama sistem CVT yang canggih, enjin ini menyediakan prestasi berkuasa sambil mengoptimumkan respon pecutan, penjimatan minyak dan kesenyapan.
"Varian V didatangkan secara eksklusif dengan Real Time AWD yang mana pembahagian kuasa antara pemanduan depan dan belakang ditambah baik untuk pemanduan yang lebih stabil," tambah kenyataan itu.
Tiga varian berkenaan dijual pada harga atas jalan tanpa insurans RM181,900 bagi V; E bermula RM169,900; dan S dari RM159,900.
Manakala, varian e:HEV RS akan tersedia pada awal 2024, dengan harganya akan diumumkan tidak lama lagi.
Menariknya, Honda Malaysia turut menawarkan CR-V serba baharu Varian S pada harga RM157,900 (harga atas jalan tanpa insurans), terhad kepada 750 unit untuk pelanggan terawal.
Tawaran istimewa itu sempena meraikan ulang tahun ke-75 Honda Malaysia dan 20 tahun CR-V sebagai model pengeluaran pertama dari kilang Melaka.
CR-V serba baharu didatangkan dalam lima warna, dengan buat pertama kali Honda Malaysia memperkenalkan Canyon River Blue Metallic.
Empat lagi warna ialah Putih (Platinum White Pearl), Perak (Lunar Silver Metallic), Kelabu (Meteoroid Gray Metallic) serta Merah (Ignite Red Metallic).