Elaun sara hidup untuk nelayan akan diteruskan
Bernama
Mei 30, 2018 21:28 MYT
Mei 30, 2018 21:28 MYT
Elaun Sara Hidup Nelayan yang dinikmati 55,000 nelayan laut dan 5,400 nelayan darat akan diteruskan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.
Beliau berkata Ketua Setiausaha (KSU) kementerian Datuk Seri Ismail Bakar memaklumkan bahawa kementerian itu mempunyai bajet yang mencukupi untuk meneruskan pembayaran elaun tersebut.
Katanya kementerian juga akan mengkaji kenaikan elaun tersebut jika keadaan kewangan negara dapat dipulihkan dengan kadar segera.
“Sekiranya keadaan ekonomi negara dapat dipulihkan secepat mungkin dan kita dapat meningkatkan pendapatan (negara), saya akan mengambil tanggungjawab memastikan (elaun) kumpulan ini dapat ditambah dan saya akan mohon bajet yang lebih untuk kementerian,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan kebimbangan persatuan nelayan bahawa elaun bulanan itu akan ditamatkan susulan perubahan pucuk pimpinan kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Salahuddin berkata ketika ini nelayan zon A menikmati elaun sebanyak RM300 sebulan, manakala RM250 bagi nelayan zon B, C dan C2.
Dalam pada itu, beliau berkata Kabinet hari ini turut meluluskan penubuhan Majlis Penasihat Pertanian Negara dan anggota majlis itu akan diperkenalkan selewat-lewatnya Isnin depan.
“Anggota majlis tidak lebih 10 orang. Peringkat pertama mungkin akan lantik lima hingga enam orang dan selepas itu kita akan lihat individu dan kepakaran tertentu yang akan kita isi kemudian,” katanya.
Berhubung skim kawalan harga musim perayaan bagi sambutan Aidilfitri 2018, Salahuddin berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi tangggungjawab kepada KSU Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk mengambil tindakan lanjut.
Salahuddin berkata KSU kedua-dua kementerian berkenaan akan mengadakan mesyuarat esok berhubung pelaksanaan skim itu yang melibatkan 22 jenis barang keperluan.
“Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap semua kementerian yang belum ada lantikan menteri memberi kuasa kepada kedua-dua KSU untuk mengambil tindakan kerana kita faham rakyat di luar sana sedang menghadapi masalah kenaikan harga barang,” katanya.
Sementara itu, Salahuddin berkata beberapa kertas kabinet melibatkan janji manifesto Pakatan Harapan akan dikemukakan dalam masa terdekat termasuk berkaitan penamatan monopoli Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dalam pengeluaran dan pengimportan beras negara.
“Hanya segelintir mendapat faedah dan Bernas menjadi lubuk untuk mengaut keuntungan peribadi atau kumpulan tertentu.
“Kita akan memastikan kepentingan pesawah terjaga dan lebih ramai usahawan boleh diberi peluang dengan cara profesional dan telus untuk meningkatkan aktiviti mereka dalam perniagaan beras,” katanya.
Salahuddin berkata walaupun monopoli Bernas ditamatkan, kementerian akan terus memastikan jaminan makanan negara diutamakan. - BERNAMA
#bantuan
#Elaun Sara Hidup
#industri asas tani
#kerajaan
#Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
#nelayan
#Pakatan Harapan
#Parti Amanah Negara
#perikanan
#rakyat
#Salahuddin Ayub
#usahawan