Elak kekeliruan, guna jenama cukai nilai tambah VAT ganti GST - Penganalisis ekonomi

Israr Khalid
Jun 4, 2022 08:00 MYT
Untuk elak kekeliruan, Yusuf cadang supaya kerajaan tidak lagi menggunakan jenama GST, sebaliknya memakai nama cukai nilai tambah, atau VAT. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) perlu difahami dengan sebaik-baiknya sekiranya ia mahu dilaksanakan semula, sepertimana yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Jelas penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Yusuf Saari, kegagalannya untuk diterima baik oleh rakyat pada pelaksanaannya sebelum ini adalah kerana bukan sahaja orang ramai tetapi tidak kurang para peniaga yang tersalah interpretasi tentang mekanisme pelaksanaannya.
Katanya, sekiranya ia benar-benar dilaksanakan sepertimana yang sepatutnya, harga barang tidak akan naik dengan ketara.
“Terdapat percanggahan, ada orang faham GST ini adalah dikenakan kepada harga akhir barangan itu, maksudnya kalau jual RM2 ada tambahan enam peratus kepada harga itu. Tidak.
“(Sepatutnya) kalau harga jualannya RM2 tapi perbezaan (margin) antara kos beli dengan harga jual katakanlah 50 sen, jadi enam peratus daripada 50 sen itu tidaklah sampai 10 sen.”
Maka untuk mengelakkan kekeliruan dengan pelaksanaan terdahulu, beliau mencadangkan supaya kerajaan tidak lagi menggunakan jenama GST sebaliknya memakai nama cukai nilai tambah, atau VAT.
Jelasnya, banyak negara di dunia mengamalkan sistem percukaian yang sebegini tetapi mereka memanggilnya VAT, bukan GST.
“Pada pandangan saya, elok dipanggil VAT supaya bila orang dengar, mereka faham bahawa ini adalah cukai yang dikenakan kepada nilai yang ditambah, atau bahasa mudahnya keuntungan yang diperoleh setelah tolak kos.
“Banyak sangat kekeliruan dan salah faham dalam masyarakat, jadi jika nak dilaksanakan mungkin setahun lagi dari sekarang maka pendidikan ke atas cukai ini perlu dibuat bermula sekarang.”
Tonton temu bual penuh bersama beliau dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini:
GST perlu betul-betul difahami sebelum dilaksanakan semula - Penganalisis Ekonomi
#Agenda Awani #GST #VAT #Yusuf Saari
;