Eksport semikonduktor Malaysia disasar cecah RM1.2 trilion menjelang 2030 - MSIA

Bernama
Julai 24, 2024 04:30 MYT
Wong berkata industri semikonduktor perlu menggunakan khidmat bakat dari negara lain untuk mengisi jurang kosong yang diperlukan negara. - Gambar fail/MIDA
KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) menyasar eksport semikonduktor negara mencecah RM1.2 trilion menjelang 2030.
Presidennya Datuk Seri Wong Siew Hai berkata sasaran itu akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport keenam terbesar di dunia dan merupakan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) kira-kira 7.6 peratus daripada nilai eksport semasa.
"Bagi mencapai pertumbuhan ini, Malaysia perlu menumpu untuk meningkatkan keupayaannya merentas rantaian nilai semikonduktor, termasuk pembungkusan canggih, reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pembuatan pintar," katanya pada sesi sembang santai di Persidangan Tech in Asia 2024, di sini, semalam.
Wong berkata kerajaan perlu bekerjasama dengan industri tempatan untuk menangani cabaran sedia ada, khususnya masalah kekurangan bakat.
"Dalam pembangunan bakat, kerajaan dan industri perlu bekerjasama untuk menarik, melatih dan mengekalkan lebih ramai tenaga kerja tempatan melalui inisiatif seperti biasiswa, program latihan pelbagai disiplin dan kolaborasi dengan universiti.
"Kami mengunjurkan yang kita memerlukan 300,000 tenaga kerja untuk mencapai sasaran itu, dan 60,000 daripadanya dalam bidang teknikal seperti saintis bahan dan ahli kimia serta jurutera," katanya.
Sementara itu, Wong berkata industri semikonduktor perlu menggunakan khidmat bakat dari negara lain untuk mengisi jurang kosong yang diperlukan negara.
"Kita kini mempunyai 10,000-20,000 bakat asing di Malaysia. Dengan pelajar asing ini belajar di sini terutamanya dalam bidang sains dan kejuruteraan, kita boleh menawarkan mereka untuk bekerja di sini juga.
"Saya fikir hal ini sedang dalam dipertimbangkan tetapi harapnya kita dapat mendengar berita yang baik," katanya.
Pada 2023, eksport industri semikonduktor Malaysia turun tiga peratus kepada RM575.45 bilion daripada RM593 bilion pada 2022.
-- BERNAMA
#MSIA #eksport semikonduktor Malaysia #Wong Siew Hai #industri semikonduktor
;