Eksport sektor E&E dijangka cecah RM300 bil tahun ini - Mustapa

Luqman Hariz
November 27, 2017 10:58 MYT
Mustapa berkata eksport E&E setakat sembilan bulan pertama tahun ini sudah pun mencecah RM251bil. -Gambar fail
Jumlah eksport sektor elektrik dan elektronik (E&E) dijangka melebihi RM300 bilion tahun ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Nilai keseluruhan eksport dari sektor tersebut mencecah RM287.7bil tahun lalu menjadikan Malaysia pengeksport E&E ketujuh terbesar di dunia.
Mustapa berkata eksport E&E setakat sembilan bulan pertama tahun ini sudah pun mencecah RM251bil.
“Sektor E&E telah mengekalkan trend meningkat sejak tiga tahun lalu, menjadikannya industri yang mencatatkan lebihan dagangan untuk tiga tahun berturut-turut,” katanya, di sini, hari ini.
Sektor E&E merupakan antara komponen terpenting sektor pembuatan dan eksport negara.
Menurut Bank Negara Malaysia, bagi suku ketiga 2017, eksport barangan E&E meningkat 21.7 peratus berbanding suku sama tahun 2016.
Sektor pembuatan dan eksport juga antara tunjang utama pertumbuhan negara, masing-masing meningkat 23.7 peratus dan 22.1 peratus pada suku ketiga 2017 berbanding suku sama tahun sebelumnya.
#E&E #ekonomi #eksport #elektrik elektronik #kilang #Mustapa Mohamed
;