Eksport sawit ke Korea Utara kecil, dagangan keseluruhan tidak terjejas - Mah

Najib Aroff
Mac 7, 2017 14:02 MYT
Mah Siew Keong (kanan) dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Tan Sri Bakke Salleh selepas majlis pelancaran Persidangan dan Pameran Minyak Sawit dan Laurik di ibu negara, 7 Mac 2017. --fotoBERNAMA.
Dagangan sawit Malaysia tidak akan terjejas sekiranya hubungan dagang dengan Korea Utara terjejas, menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong hari ini.
Katanya, eksport sawit Malaysia ke Korea Utara adalah dalam jumlah kecil melibatkan nilai RM3 juta pada 2016.
“Eksport sawit dan getah hanya RM4 juta ke Korea Utara, jadi ia bukan angka yang besar dan kami tidak bimbang (kemungkinan hubungan dagang terganggu).
“Sama ada hubungan dagang dengan Korea Utara akan digantung atau sebaliknya, saya serahkan kepada Kementerian Luar untuk menilai,” katanya pada satu sidang media hari ini sempena Persidangan dan Pameran Minyak Sawit dan Laurik di ibu negara.
Menurutnya, nilai perdagangan keseluruhan Malaysia dengan Korea Utara berjumlah RM18 juta pada tahun lepas, dengan eksport sebanyak RM10.7 juta. 40 peratus daripadanya adalah eksport sawit dan getah.
Mah ditanya kesan ke atas hubungan dagang antara Malaysia dan Korea Utara, susulan kes Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, yang mati pada 13 Februari lalu.
Jong Nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk penerbangan ke Macau apabila dua wanita didakwa menyapu mukanya dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.
Beliau yang memasuki negara ini menggunakan pasport tertera nama Kim Chol meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
#kim jong nam #Korea Utara #mah siew keong #sawit
;