Eksport perabot disasar lepasi paras RM8 Bilion

Bernama
Februari 27, 2013 19:20 MYT
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyasar eksport perabot Malaysia tahun ini melepasi paras RM8 bilion yang dicatatkan pada 2012.
Menterinya Tan Sri Bernard Dompok berkata perabot Malaysia dieksport ke 199 negara di seluruh dunia tahun lepas.
"Tahun ini kami berharap dapat melakukannya lebih baik lagi dan melepasi paras RM8 bilion, kerana industri perabot merupakan penyumbang utama kepada pendapatan eksport," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementeriannya, di sini, Rabu.
Dompok berkata dua pameran perabot antarabangsa penting akan diadakan bulan depan.
"Kami akan menjadi hos Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) dari 5-9 Mac di Pusat Dagangan Dunia Putra dan Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade dan Pameran Perabot Eksport (EFE) dari 6-10 Mac di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS)," katanya.
Beliau berkata MIFF menjana jualan berjumlah kira-kira US$830 juta tahun lepas dan EFE kira-kira US$245 juta.
Beliau berkata kementeriannya menjangkakan kira-kira 1,000 peserta pameran asing dan tempatan menyertai MIFF dan EFE tahun ini bersama dengan sejumlah besar pengunjung.
Dompok berkata kedua-dua pameran itu juga dijangka menjana limpahan ekonomi menerusi kunjungan dan perbelanjaan oleh pelancong asing dan pembeli perabot antarabangsa.
Sementara itu, beliau juga mendedahkan bahawa Malaysia mencapai pendapatan eksport perabot bernilai RM127.5 bilion pada 2012, penurunan 9.7 peratus daripada 2011 pada RM141.2 bilion.
#eksport #Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi #perabot #Tan Sri Bernard Dompok
;