Eksport Malaysia susut 5.9 peratus kepada RM122.1 bilion pada November - DOSM

Bernama
Disember 19, 2023 06:30 MYT
Mohd Uzir berkata 125 daripada 257 kumpulan barangan eksport menunjukkan penurunan manakala 146 daripada 258 kumpulan barangan import meningkat berbanding bulan sama tahun lepas. - Foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Eksport Malaysia menurun sebanyak 5.9 peratus kepada RM122.1 bilion pada November 2023 disebabkan oleh permintaan yang lebih rendah untuk produk elektrik dan elektronik, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan berkata eksport domestik bernilai RM95.9 bilion yang menyumbang 78.5 peratus kepada jumlah eksport, turun 7.4 peratus.
Eksport semula berjumlah RM26.2 bilion, berkembang sedikit sebanyak 0.1 peratus berbanding November 2022 manakala import November 2023 melonjak sebanyak 1.7 peratus berbanding bulan yang sama tahun lepas kepada RM109.7 bilion.
Mohd Uzir berkata 125 daripada 257 kumpulan barangan eksport menunjukkan penurunan manakala 146 daripada 258 kumpulan barangan import meningkat berbanding bulan sama tahun lepas.
Eksport yang lebih rendah adalah disebabkan oleh penurunan terutamanya ke Singapura (-RM3.7 bilion) diikuti oleh Jepun (-RM1.6 bilion), China (-RM1.6 bilion), Hong Kong (-RM1.2 bilion) dan Amerika Syarikat (-RM1.2 bilion).
"Sementara itu, import yang lebih tinggi disumbangkan terutamanya oleh Singapura (+RM2.4 bilion) diikuti Arab Saudi (+RM1.4 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.0 bilion) dan Thailand (+RM545.7 juta), " katanya.
Mengulas lanjut mengenai eksport, beliau berkata kejatuhan itu sejajar dengan kejatuhan produk elektrik dan elektronik (-RM7.3 bilion); kimia dan produk kimia (-RM1.1 bilion); dan kelengkapan pengangkutan (-RM1.0 bilion).
Kenaikan import adalah daripada kelengkapan pengangkutan (+RM1.8 bilion); petroleum mentah (+RM1.1 bilion) dan produk petroleum (+RM774.4 juta), kenaikan itu sejajar dengan permintaan yang lebih tinggi untuk barangan modal dan barangan penggunaan, kata kenyataan itu.
Import barangan modal meningkat sebanyak 53.3 peratus kepada RM14.9 bilion berbanding November 2022, mewakili 13.6 peratus daripada jumlah import.
"Barangan penggunaan (8.9 peratus daripada jumlah import), meningkat 2.2 peratus kepada RM9.7 bilion daripada RM9.5 bilion setahun lalu manakala barangan pengantara (51.2 peratus daripada jumlah import) menyaksikan penurunan 5.2 peratus, atau RM3 .1 bilion, kepada RM56.2 bilion," katanya.
-- BERNAMA
#Mohd Uzir Mahidin #jumlah import #barangan pengantara #Eksport domestik
;