Eksport Malaysia rekod peningkatan ketara pada April 2024 - MITI
Azyyati Ahmad
Mei 20, 2024 12:44 MYT
Mei 20, 2024 12:44 MYT
KUALA LUMPUR: Perdagangan Malaysia mengekalkan prestasi kukuh dan trend peningkatan pada April 2024 dengan merekodkan pertumbuhan dua digit 12.1 peratus kepada RM221.74 bilion berbanding April 2023.
Ini merupakan pertumbuhan tahun ke tahun yang keempat bulan berturut-turut.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, selaras dengan pemulihan perdagangan global, eksport pada April 2024 meningkat semula sebanyak 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM114.72 bilion selepas penyusutan dua bulan berturut-turut.
"Pertumbuhan ini disumbangkan oleh kenaikan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan, kimia dan bahan kimia, petroleum mentah, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan besi dan keluli.
"Dari segi pasaran, eksport ke ASEAN, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU)
merekodkan pertumbuhan dua digit manakala eksport ke China pulih daripada pertumbuhan negatif yang direkodkan pada bulan sebelumnya
"Ini menggambarkan pemulihan ekonomi sedang berlaku di pasaran eksport utama Malaysia," katanya.
Selain itu, import pada April 2024 meningkat 15.6 peratus tahun ke tahun kepada RM107.02 bilion, disumbangkan oleh import yang kukuh bagi barangan pengantara yang digunakan terutamanya dalam aktiviti pembuatan barangan untuk dieksport.
Untuk bulan yang ke-48 berturut-turut sejak Mei 2020, Malaysia telah mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM7.7 bilion.
MITI menyifatkan, empat bulan pertama tahun 2024 mencatat nilai tertinggi yang pernah direkodkan untuk tempoh tersebut bagi perdagangan, eksport, dan import.
Perdagangan meningkat 8.3 peratus kepada RM912.27 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023.
Eksport meningkat 3.8 peratus kepada RM477.05 bilion dan import naik 13.7 peratus kepada RM435.22
bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM41.83 bilion.
Sementara itu, berbanding Mac 2024, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan pada April 2024 dicatat lebih rendah masing-masing sebanyak 9.3 peratus, 10.8 peratus, 7.6 peratus dan 39.4 peratus.
Pengurangan ini disebabkan oleh penurunan perdagangan dengan rakan dagang utama iaitu Taiwan ROC, ASEAN, India, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Dari segi barangan, perdagangan yang lebih rendah direkodkan bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum dan gas asli cecair (LNG).
Eksport Malaysia ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada April 2024 meningkat 4.4 peratus tahun ke tahun kepada RM78.03 bilion.
Di antara rakan dagang FTA yang mencatatkan peningkatan eksport adalah Hong Kong SAR, Mexico dan Kanada, disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E.
Trend positif bagi perdagangan, eksport dan import Malaysia pada tempoh Januari hingga April 2024 sejajar dengan unjuran pemulihan perdagangan global.
Menurut Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), perdagangan barangan global dijangka akan meningkat 2.6 peratus tahun ini setelah mengalami penguncupan pada 2023.
Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut menjangkakan pemulihan mendadak dalam aliran barangan pada 2024 setelah mengalami kelembapan pada 2023.
IMF dalam Tinjauan Ekonomi Dunia April 2024 telah menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) global lebih tinggi kepada 3.2 peratus bagi 2024 (anggaran pada Januari 2024: 3.1 peratus) berikutan prestasi lebih kukuh daripada jangkaan di Amerika Syarikat.
Pertumbuhan KDNK Malaysia pula dijangka berkembang 4.4 peratus pada 2024 (anggaran pada Januari 2024: 4.3 peratus).
Selain itu, International Institute for Management Development (IMD) World Kedudukan Daya Saing 2023 meletakkan Malaysia sebagai negara ke-27 paling berdaya saing dalam tadbir urus ekonomi (2022: ke-32)/
Ini akan merangsang perdagangan Malaysia, seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang akan menyokong pengembangan ekonomi Malaysia.
Berpandukan kepada Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, MITI juga menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi yang akan meningkatkan nilai eksport pembuatan dan perkhidmatan Malaysia di masa depan.
Susulan itu, Pelaburan berjumlah RM329.5 bilion telah diluluskan pada 2023 yang merupakan nilai tertinggi yang pernah direkodkan, turut melibatkan projek perkilangan bernilai RM152 bilion.
Sebaik sahaja projek perkilangan ini dilaksanakan kelak, ia dijangka akan melonjakkan perdagangan khasnya daripada sektor bernilai tinggi.