Eksport Malaysia berkembang dalam separuh pertama 2021

Bernama
April 28, 2021 04:22 MYT
RHB Research dalam laporan 'Strategi Pasaran Ekonomi Global' berkata pertumbuhan eksport akan dibantu oleh gabungan harga komoditi yang lebih tinggi. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka meneruskan pertumbuhan eksport yang cemerlang pada separuh pertama 2021, kata firma penyelidikan.
RHB Research dalam laporan 'Strategi Pasaran Ekonomi Global' yang dikeluarkan semalam berkata pertumbuhan eksport akan dibantu oleh gabungan harga komoditi yang lebih tinggi, permintaan yang kukuh dalam elektrik dan elektronik serta kesan asas yang rendah.
''Bagi separuh kedua 2021, pertumbuhan harus kekal tinggi walaupun pada kadar yang lebih rendah.
"Ini merangkumi beberapa pembetulan kepada harga komoditi, manakala penurunan kesan asas akan memberi kesan yang lebih rendah memandangkan kecemerlangan prestasi eksport pada separuh kedua 2020," katanya.
Seiring dengan peningkatan proses vaksinasi negara, permintaan global yang lebih mantap mungkin akan mengimbangi beberapa kelemahan.
Pertumbuhan yang lebih kukuh daripada jangkaan mungkin mencerminkan peningkatan keseluruhan permintaan global untuk barangan.
Khususnya, eksport ke Amerika Syarikat (AS) mencatatkan lonjakan pertumbuhan sebanyak 67.5 peratus dari tahun ke tahun, kata firma penyelidikan itu.
Sementara itu, dalam analisis bertajuk 'Malaysia: Foreign Trade', Moody's Analytics menyatakan Malaysia telah mendapat manfaat daripada perdagangan yang pelbagai.
Lebihan dagangan Malaysia menokok kepada RM24.2 bilion menjelang Mac 2021 berbanding RM17.9 bilion pada Februari 2021, dengan pertumbuhan 96.1 peratus dari tahun ke tahun, katanya.
Tambah Moody's Analytics, prestasi perdagangan yang cemerlang dengan tiga rakan kongsi utama negara iaitu China, Singapura dan AS menunjuk kepada pemulihan yang lebih optimis di hadapan.
''Bagaimanapun, Malaysia harus kekal berhati-hati terhadap risiko ketegangan perdagangan antara AS dan China serta kebangkitan semula jangkitan COVID-19 di negara rakan kongsi utama.
"Kami menjangkakan pertumbuhan kukuh dalam eksport dan import akan melemah pada separuh kedua 2021,'' kata Moody's Analytics.
Prestasi perdagangan Malaysia bagi Mac 2021 mengatasi semua jangkaan dengan eksport melonjak 31 peratus dari tahun ke tahun kepada RM104.95 bilion, manakala import meningkat 15.9 peratus dari bulan ke bulan atau 19.2 peratus dari tahun ke tahun.
Memandangkan perbandingan asas tahun yang rendah, eksport naik sebanyak 19.8 peratus dari bulan ke bulan, yang mencerminkan peningkatan nilai sebanyak RM17.3 bilion berbanding bulan sebelumnya.
"Dalam tempoh tahunan, nilai eksport bertakmbah sejumlah RM20 bilion berbanding paras pra-pandemik Mac 2019, menonjolkan pertumbuhan yang kukuh dalam sektor perdagangan," tambah Moody's Analytics.
-- BERNAMA
#China #Singapura #COVID-19 #RHB Research #Moody's Analytics
;