Eksport China wakili 11.1 peratus dagangan dunia

Bernama
Disember 27, 2012 09:52 MYT
Eksport daripada China mewakili 11.1 peratus dagangan dunia pada tiga suku pertama 2012, naik 0.6 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas, kata Kementerian Perdagangan negara itu.
Walaupun terdapat ketidaktentuan ekonomi, eksport China meningkat lebih pesat daripada lain-lain ekonomi utama pada tempoh itu, kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Rabu.
Bagaimanapun, pada 10 bulan pertama 2012, eksport produk berkuasa tinggi dan produk yang menyebabkan pencemaran dalam pembuatannya, seperti besi dan keluli, susut 7.3 peratus tahun ke tahun kepada US$89.2 bilion, katanya.
Ia berkata volum eksport intensif tenaga dan produk pencemaran tinggi susut 5 peratus tahun ke tahun kepada 96.03 juta tan metrik pada tempoh 10 bulan itu.
Sementara itu, eksport barangan utama China mewakili 30.2 peratus daripada jumlah eksport pada 10 bulan pertama 2012, naik 1.1 peratus daripada 2007, lapor Xinhua News Agency.
Kementerian itu juga berkata dagangan am meningkat sementara dagangan pemprosesan merosot.
Dagangan am berjumlah US$1.83 trilion pada 11 bulan pertama, mewakili 52.1 peratus daripada jumlah import dan eksport.
Dagangan pemprosesan mewakili 34.9 peratus jumlah import dan eksport, susut daripada 45.4 peratus satu tahun sebelumnya, katanya.
#China #ekonomi #eksport #import #kementerian perdangangan