Ekspo Taiwan 2023 dijangka jana perdagangan dua hala US$48 juta

Bernama
Julai 4, 2023 08:50 MYT
Yeh (tengah) ketika hadir pada sidang media Ekspo Taiwan 2023 di Kuala Lumpur semalam. Turut kelihatan, Chen (dua, kanan) dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia Tan Sri Soh Thian Lai (dua, kiri). --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Ekspo Taiwan 2023, yang memberi tumpuan kepada meningkatkan lagi hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Taiwan, menyasarkan untuk menjana perdagangan dua hala bernilai US$48 juta pada tahun ini.
Timbalan Pengarah Eksekutif Pembangunan Pasaran Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) Tiffany I.C. Chen berkata penganjur ekspo menjangkakan seramai 20,000 pengunjung pada acara selama tiga hari itu yang akan diadakan dari 24 hingga 26 Ogos ini.
"Kami mengetengahkan beberapa tema pameran, iaitu Industri 4.0 (IR4.0), ekonomi kitaran serta penyelesaian pintar dan kod bersih pintar, semuanya sejajar dengan dasar Malaysia untuk menggalakkan IR4.0 bagi memudahkan pembuatan di Malaysia," katanya pada sidang media mengenai Ekspo Taiwan 2023 semalam.
Beliau berkata Malaysia adalah satu-satunya negara yang mengadakan Ekspo Taiwan pada setiap tahun dan ini adalah kali pertama mereka mengadakan pameran secara fizikal sejak pandemik COVID-19.
"Malaysia mungkin pilihan paling popular untuk syarikat dan pengeluar Taiwan.
"Pada tahun ini, terdapat lebih 160 peserta pameran yang mengambil bahagian di 220 gerai pameran. Saya boleh katakan bahawa selepas kami mengadakan acara ini setiap tahun, sama ada dalam talian atau secara fizikal, tahap kepuasan adalah yang tertinggi dalam tinjauan soal selidik yang kami jalankan pada setiap tahun," katanya.
Chen berkata Malaysia memainkan peranan penting sebagai hab perdagangan, pembuatan dan teknologi maklumat (IT) di Asia Tenggara.
"Bagi Malaysia, ia adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mengadakan ekspo ini tujuh kali berturut-turut.
"Itu sebabnya ia diadakan pada setiap tahun dan ia sangat menyeluruh, bukan sahaja dari perspektif IT, tetapi juga dari perspektif seni dan budaya, pelancongan dan banyak lagi," katanya.
Sementara itu, Wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, Phoebe Yeh berkata Taiwan dan Malaysia telah lama menjadi rakan perdagangan dan pelaburan yang penting.
"Misalnya, pada 2022, jumlah perdagangan dua hala kami telah mencapai paras tertinggi dalam sejarah.
"Kadar pertumbuhan telah mencecah 36.2 peratus dengan jumlah nilai sebanyak US$36.6 bilion, menjadikan Taiwan sebagai rakan dagang kelima terbesar Malaysia dan Malaysia adalah rakan dagang kelapan terbesar Taiwan.
"Pelaburan Taiwan di Malaysia sehingga akhir 2022 mencecah US$14 bilion, menjadikan Taiwan pelabur langsung asing kelapan terbesar di Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
#Ekspo Taiwan 2023 #pelaburan #Malaysia-Taiwan #perdagangan dua hala
;