Eksklusif: Pengambilalihan UMW penting, Toyota, Perodua akan bantu Sime Darby berkembang
Najib Aroff
November 17, 2023 10:45 MYT
November 17, 2023 10:45 MYT
KUALA LUMPUR: Pengambilalihan UMW penting untuk mengembangkan perkongsian pasaran syarikat dalam segmen automotif khususnya pengeluaran kenderaan untuk pasaran meluas.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd Datuk Jeffri Salim Davidson, ketika ini syarikat itu hanya menguasai sekitar 15 peratus perkongsian pasaran melibatkan segmen premium.
“Kami mahukan UMW sejak sekian lama. Mereka umpama kembar kami dan mereka mempunyai perniagaan yang baik.
"Mereka memiliki Perodua yang menguasai 38 peratus pasaran Malaysia dan 12 hingga 13 peratus dimiliki oleh Toyota.
“Mereka merupakan peserta industri penting dan kami mahu terus berkembang di Malaysia. Ini merupakan peluang besar untuk kami.
"Dan perkongsian pasaran kami menjadi semakin mengecil sekitar 15 peratus. Australia dan China lebih besar. Dan melalui pengambilalihan ini, akan mengimbangi penguasaan pasaran kami antara Malaysia, Australia dan China,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI.
Terdahulu hari ini, Jeffri mengumumkan Sime Darby mendapat persetujuan daripada pemegang saham untuk mengambil alih 61.2 peratus kepentingan Permodalan Nasional Bhd dalam UMW Holdings Bhd.
Seterusnya, katanya, konglomerat itu akan melancarkan tawaran am mandatori untuk memperoleh baki saham bagi mendapatkan pemilikan penuh UMW.
Tambah Jeffri lagi, selama ini Sime Darby berfokus kepada segmen mewah dan premium dan pengambilalihan ini dijangka akan mengembangkan perniagaan automotifnya kepada segmen meluas
Selain itu, dengan kehadiran Toyota serta Perodua di bawah UMW, dijangka mampu melengkapkan spektrum perniagaan automotif Sime Darby.
“Perodua dan Toyota akan melengkapkan spektrum daripada pembuatan, pemasangan, pengedaran, peruncitan dan khidmat selepas jualan. Ia melengkapkan rantaian nilai automotif kami.
“Suatu hari nanti mungkin akan ada peluang untuk kami bersama Toyota di pasaran lain di dunia. Mereka mungkin memerlukan pengedar di negara lain.
“Jangan pandang ringan terhadap Perodua, ia syarikat yang diuruskan dengan sangat baik.
"Mereka menghasilkan kereta yang baik pada harga berpatutan. Sebab itu mereka menguasai 38 peratus pasaran dan mereka merupakan jenama yang unggul,” katanya.
Jeffri berkata, jika UMW berjaya melaksanakan pengambilalihan 100 peratus, langkah seterusnya adalah menyahsenaraikan UMW dan menyemak semula perniagaan UMW sebelum menentukan sebarang bentuk penstrukturan yang diperlukan, termasuk perniagaan teras dan bukan teras yang dimiliki.