Ekosistem bangunan hijau jadi kebimbangan pelabur ESG terhadap SP Setia

Dagang News
November 17, 2021 09:00 MYT
Ibu pejabat korporat SP Setia merupakan pejabat milik persendirian pertama dan bangunan ketiga di Malaysia yang memiliki pensijilan bangunan hijau. - Foto DagangNews.com
KUALA LUMPUR: CGS-CIMB Equities Research mendapati para pelabur bimbang mengenai alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) SP Setia Bhd. akan memberi kesan kepada kos premimum bagi pendapatan dan ketersediaan ekosistem bangunan hijau.
Ini berikutan daripada sesi taklimat ESG baru-baru ini dengan pengurusan SP Setia yang mana kumpulan sedang membangunkan hala tuju ESG, dijangka diumumkan pada 2022.
Penganalisis CGS-CIMB, Ngo Siew Teng berkata, kebimbangan itu juga termasuklah dari segi ketersediaan kumpulan dan sektor pembinaan untuk menerima bangunan hijau, kos bangunan hijau yang kemungkinan lebih tinggi dan ketersediaan kepakaran/bahan binaan hijau di Malaysia.
Katanya, di bawah strategi kemampanan SP Setia, kumpulan akan berusaha untuk memastikan hartanah komersial seprti menara korporat atau pejabat memiliki pensijilan penarafan bangunan hijau seperti Indeks Bangunan Hijau (GBI).
"Berdasarkan kepada pengalaman SP Setia mereka bentuk dan memperoleh pensijilan hijau bagi bangunan-bangunannya, kami percaya kumpulan akan mendapat manfaat daripada permintaan tinggi bangunan yang diperakui hijau pada masa hadapan.
"Ini terutamanya melibatkan bangunan komersial dan perindustrian memandangkan lebih banyak syarikat akan mempertimbangkan pensijilan bangunan hijau sebagai ruang baharu pejabat mereka dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon," katanya dalam nota kajian pada Selasa.
Ibu pejabat korporat SP Setia merupakan pejabat milik persendirian pertama dan bangunan ketiga di Malaysia yang memiliki pensijilan Platinum GBI dan Platinum GreenRE.
Dalam kawasan yang sama, Pusat Konvensyen Setia City merupakan pusat konvensyen yang pertama diperakui GBI.
Menurut Siew Teng, para pemaju digalakkan untuk menggunakan sistem bangunan perindustrian (IBS) sebagai amalan pembinaan mampan bagi mengurangkan pembuangan dan pelepasan sisa.
SP Setia mempunyai kemudahan IBS di 3 lokasi di Lembah Klang yang mengkhusus dalam pembinaan pangsapuri bertingkat tinggi, rumah bertanah IBS dan bangunan komersial menggunakan teknologi pratuang. Malah, kebanyakan projek bertingkat tingginya menggunakan IBS.
Di samping itu, kumpulan juga menerima anugerah bagi pencapaian skor IBS tertinggi di Malaysia pada 93.95 pada 2019.
"Kami juga mendapati bahawa tidak semua pemaju memiliki kapasiti pembuatan IBS secara dalaman dan SP Setia adalah antara pengguna terawal," tambahnya.
Firma penyelidikan itu bagaimanapun mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham SP Setia dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM1.82 berbanding RM1.42 sebelum ini.
CGS-CIMB juga yakin terhadap bank tanah SP Setia yang besar dapat memenuhi perubahan dalam pilihan pengguna, menambah baik tahap gearan bersih bagi tahun kewangan 2021-2023 dan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan terhadap bangunan hijau berdasarkan kepada pengalaman kumpulan.
* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com.
#SP Setia #Ngo Siew Teng #kos bangunan hijau #Indeks Bangunan Hijau
;