Ekonomi terkesan jika jerebu berterusan - Pakar ekonomi
Luqman Hariz
Oktober 1, 2015 19:14 MYT
Oktober 1, 2015 19:14 MYT
Masalah jerebu yang masih berterusan setelah sekian lama akan menjejaskan ekonomi.
Menurut Ketua Ekonomi AMP Capital, Shane Oliver, fenomena jerebu memberi impak ekonomi melalui ketidakhadiran kerja dan juga kepada kesihatan awam secara keseluruhannya.
"Ini terutamanya dengan peningkatan ketidakhadiran kerja, terutamanya bagi mereka yang bekerja di luar dalam industri perkhidmatan, pembinaan dan sebagainya, dan dari segi impak kepada kesihatan awam," katanya.
Justeru, Oliver berkata pencarian penyelesaian yang kekal bagi membendung jerebu dari berulang perlu menjadi keutamaan serantau.
Beliau menambah, ia menyebabkan kesan ekonomi amat besar bagi negara-negara yang terjejas, sama ada kesan diukur dan tidak diukur.
Menurutnya, kesan ekonomi tidak diukur lebih memakan kos seperti kemerosotan kualiti hidup yang disebabkan jerebu.
Tambahnya, sektor pelancongan antara yang paling terkesan ekoran hilangnya daya tarikan rantau ini sebagai destinasi melancong dan bekerja.
Sementara itu menurut Pakar Meteorologi Kanan AccuWeather Jason Nicholls, kualiti udara yang buruk mungkin menyebabkan sektor pelancongan turut merudum.
"Penurunan pelancongan sudah pastinya memberi kesan negatif kepada ekonomi beberapa negara," katanya.
"Saya tidak ada angka rasmi untuk menyokongnya, tetapi kualiti udara yang buruk mungkin menyebabkan pelancong memendekkan kunjungan mereka atau mengelak langsung datang ke rantau ini.
Sebagai contoh pada 2013, Thailand mengalami kerugian ekonomi berjuta dolar apabila kualiti udara kekal dalam zon bahaya di selatan negara tersebut bagi tempoh yang lama.